Home Berita PAS Perlis

PJ tunggang motosikal hadiri program anak muda

399
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 26 Dis: Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli hari ini turun padang untuk bersama-sama dengan anak muda di program Perlis Funrace Motorcross & Cubcross 2021 dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Beliau yang menaiki motosikal Honda CBR250RR bertolak dari kediamannya di Sungai Padang pada jam 11.30 pagi dan tiba di Trek Sungai Batu Pahat, di sini kira-kira setengah jam kemudian.

Hadir dengan imej santai, kedatangan beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang turut mengejutkan kebanyakan anak muda yang kali pertama melihat penampilannya yang sedemikian.

Mohd. Shukri ketika ditemui berkata, kehadirannya adalah bagi meraikan para peserta program berkenaan.

“Apa sahaja acara mahupun aktiviti anak muda yang positif, yang bermatlamatkan membangun potensi mereka wajar diberikan sokongan oleh semua pihak.

“Ucapan tahniah juga saya rakamkan kepada pihak penganjur atas kejayaan menarik penyertaan yang cukup ramai untuk ‘berkampung’ di sini pada kali ini,” katanya.

Beliau turut memuji para peserta yang menyertai pertandingan berkenaan yang disifatkannya berjiwa kental dan berani kerana kemampuan mereka mengendalikan motosikal di trek yang mencabar.