POLITIK HIDAYAH MENDASARI PERJUANGAN INI
Naskhah Dakwah PAS Pusat. Siri 21
5 Jamadil Akhir 1441 | 30 Jan 2020
Pimpin Ummah Kembali Kepada Perlaksanaan dan Penghayatan Islam.
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat
https://m.facebook.com/naskhahdakwah
https://t.me/Naskhahdakwah
1. Mesej politik Islam adalah mengajak manusia bersama Islam, menjadi penyelamat dan mengemukakan penyelesaian terhadap semua masaalah yang dihadapi oleh masyarakat, termasuk diri orang yang melakukan kesilapan, bukan sahaja menyelamatkan mangsanya.
2. Begitulah politik hidayah Allah SWT. Ia bersifat penyelamat rakyat dan mereka yang terjerumus dalam dosa. Pasti tujuannya adalah mengislahkan, bukan membiarkan mereka menjadi rosak atau lebih merosakkan lagi.
(Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang (TGHH) – dari Kitab BPMS : Suatu Penyelesaian – m/s 158)
3. Tentu sahaja skill politik sebegini agak asing dan kekok untuk dipraktiskan terutama setelah lama terbiasa dalam kitaran politik konvensional yang ada pada hari ini.
4. Namun skill politik Islam ini adalah satu pedoman yang telah dipamerkan oleh Nabi SAW. Lantaran itu, tidaklah rumit sebenarnya untuk kita mempraktiskannya dalam perjuangan yang kita kenderai.
5. Asal sahaja kita pacu perjuangan ini bertolak dari kefahaman dan kesedaran Islam yang jitu. Bukan berjuang di bawah pengaruh emosi dan hala tuju yang salah.
TGHH mendedahkan betapa
a) “zaman pendekatan ini (politik hidayah) diamalkan, ia telah menjadikan pengikut Islam makin bertambah, apabila mereka menyaksikan perlaksanaannya bukan untuk mencipta musuh seramai-ramainya.”
b) “Pendekatan ini juga tidak hanya melihat dari sudut kesalahan seseorang sahaja sehingga menafikan sudut kebaikannya atau menentang sesuatu pihak untuk dijatuhkan semata-mata ingin mendapat peluang mengambil kuasa untuk diri sendiri dan puaknya sahaja.”
Hayati Firman Allah SWT :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
Surah Al Anbiya’ : 107
6. PAS sebagai sebuah gerakan Islam, telah mengambil gagasan ini (BPMS) untuk membina landasan perjuangan yang utuh sekaligus membangunkan perjuangan Islam ini di atas paksi hidayah Allah SWT.
7. PAS juga senantiasa memanjangkan tali persaudaraan sesama umat Islam agar bersatu hati, mengelak sengketa dan bangkit membina semula kekuatan dan kemuliaan ummah yang semakin hari semakin lemah ekoran perpecahan dan perbalahan sesama umat yang tidak kunjung sudah.
8. Meskipun tidak mudah untuk menyatukan ummah yang tentu sahaja memiliki 1001 perbedaan latar belakang sosial, pendidikan dan pemikiran.
9. Namun Allah SWT. memerintahkan agar umat ini berpegang teguh dengan Tali Allah SWT. dan kita wajib mengusahakan agar umat ini bersatu serta berpegang dengan Al Quran (Tali Allah) seerat-eratnya dan tidak berpecah.
10. Jangan pernah rasa jemu dan bosan untuk mengayuh roda perjuangan ini. Usah melengahkan masa dengan perkara yang tidak membawa kebaikan kepada ummah dan perjuangan.
11. Fokus kepada beberapa tindakan ini:
i) Sebar risalah Islam seluas yang boleh agar kejahilan ummah dapat dibasmi, fitnah dapat ditangkis dan kebenaran dapat dijulang.
ii) Kenali dan tangani musuh Islam selayaknya. Berhati-hati agar tidak salah sasaran.
iii) Pertahankan Islam dan perjuangkannya secara munazzamah dengan menyertai jamaah dan aktif bersama amal jamaei.
iv) Perkukuhkan saf (organisasi) perjuangan agar aktiviti amal Islami dapat direncana dengan aktif dan sistematik.
Islam Memimpin Perpaduan.