Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Pilihlah Kepimpinan Yang Mentaati Allah & Rasul

771
SHARE

RISALAH UNTUK PENGUNDI

Bilangan: 07

PILIHLAH KEPIMPINAN YANG MENTAATI ALLAH DAN RASUL

Oleh:
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

1. Politik Islam merupakan sebahagian ajaran agama Islam. Berbeza dengan politik yang berkiblatkan idelogi barat yang berkonsepkan kebebasan tanpa campurtangan ketuhanan.

2. Dalam Islam, semua perkara mestilah berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Ini ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ ۖ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu merujuk kepada Allah (al-Quran) dan RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” [an-Nisaa’: 59]

3. Berdasarkan ayat di atas, Syeikh Muhammad Abduh menyatakan bahawa mengembalikan urusan kepada Allah dan Rasul ialah dengan merujuk dan berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah dalam apa sahaja urusan sekalipun hal pertikaian antara pengikut dengan pemimpin.

4. Ini menjadikan kepimpinan yang perlu diberikan ketaatan hanya kepimpinan yang mentaati Allah dan Rasul. Ketaatan yang mutlak hanyalah kepada Allah dan Rasul sedangkan pemimpin kalangan manusia perlu diberikan ketaatan selagimana tindak tanduk mereka tidak bercanggah dengan syarak.

5. Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam karyanya رسالة الأزهر بين الأمس واليوم والغد menyebut kisah Syeikhul Azhar, Syeikh al-Syarqawi ketika ditanya mengenai Ulul Amri yang wajib diberi sokongan tidak berbelah bahagi, lantas dijawab oleh beliau:

هم العلماء وحملة الشريعة وسلطان عادل

“Mereka ialah kalangan para ulamak, pendokong syariah dan pemerintah yang adil.”

6. Maka, betapa wajibnya seseorang pemimpin itu mengenali tuntutan Allah dalam bernegara agar selari dengan syarak. Sudah tentu golongan ulama dan pendokong syariah lebih mendalami perkara ini dan sesuai menjadi pemimpin kepada masyarakat.

7. Adapun kepimpinan yang tidak meletakkan ketaatan penuh kepada Allah dan Rasul, maka mereka tidak perlu dipilih kerana mereka akan terjebak dengan pembawaan idelogi yang bertentangan dengan agama Allah. Inilah yang diperingatkan oleh Allah SWT:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا

“Tidakkah engkau (hairan) melihat orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.” [an-Nisaa’: 60]

Terbitan:
Jabatan Pilihan Raya Ulamak
Dewan Ulamak PAS Pusat

11 Syaaban 1439H / 27 April 2018 (Jumaat)

 

Sila muatturun dokumen (dalam format *.PDF) bagi tujuan cetak dan sebaran melalui pautan di bawah:

risalah untuk pengundi – bil 07