Home Kenyataan Media PAS Wilayah

PILIHANRAYA DATUK BANDAR KUALA LUMPUR PERINTIS AGENDA DAP KUASAI PBT

474
SHARE

1. Saya mengamati fakta dan maklumat berkenaan artikel di laman sesawang Free Malaysia Today semalam yang menyatakan cadangan dari YB Lim Lip Eng iaitu Ahli Parlimen Kepong bahawa tiada keperluan untuk melantik Menteri Wilayah kerana ianya bertindih dengan tugas dan peranan Datuk Bandar.

Ahli Parlimen DAP berkenaan menggesa agar pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur dilaksanakan melalui Pilihanraya Kerajaan Tempatan.

Secara lazimnya pentadbiran bagi Wilayah Persekutuan adalah di bawah Kementerian Wilayah, namun ia telah dijenamakan semula sebagai Kementerian Wilayah dan Desa yang disandang oleh Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

2. Gesaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen DAP ini tidak boleh dipandang enteng memandangkan beliau juga ada menyebut untuk membawa perkara ini dalam perbincangan bersama Perdana Menteri.

Kekhuatiran saya adalah usaha ini menjadi realiti walaupun ia merupakan bukan satu keutamaan penting dalam situasi ekonomi negara yang masih belum stabil sepenuhnya. Bahkan, dengan demografi majoriti kaum bukan Melayu mendiami bandar-bandar besar di negara kita dan kaum Melayu mendiami di luar bandar, kewujudan pilihanraya ini dikhuatiri akan merenggangkan usaha perpaduan kaum di dalam negara kita.

3. Semua sudah maklum bahawa pilihanraya kerajaan tempatan pernah diwujudkan di Malaysia dan kemudiannya telah dimansuhkan sejak 40 tahun dahulu.

Sejak itu, Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran dan kabinetnya di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara telah dipilih sama ada melalui kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri.

Namun, walaupun pelantikan mereka tidak melalui proses pilihanraya, sejarah telah membuktikan bahawa bandar-bandar di negara kita telah berkembang pesat dengan kemampuan pentadbiran oleh penjawat awam negeri yang berkhidmat.

4. Walaupun masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki di PBT seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), saya berpendapat mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan bagi mengatasi kelemahan pentadbiran DBKL akan melibatkan kos yang tinggi kerana dianggarkan pemilih yang akan terlibat berjumlah hampir 2 juta orang penduduk di Kuala Lumpur.

Kewujudan pilihanraya DBKL akan membuka kepada pilihanraya PBT di seluruh negara sekaligus menyebabkan ia menjadi pilihanraya lapis ketiga kepada rakyat selepas pilihanraya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

5. Dengan wujudnya pilihanraya lapis ketiga ini, ia bukan saja menyebabkan kos perbelanjaan yang ditanggung oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) semakin meningkat, bahkan ia juga akan menyebabkan suasana “politiking” di negara kita semakin membarah dan fokus terhadap pembangunan ekonomi , isu setinggan dan kebajikan rakyat semakin terpinggir.

Di waktu harga barang keperluan tengah meningkat dan pelbagai isu ekonomi tengah memuncak, amatlah perlu usaha mengurangkan “politiking” di kalangan pemimpin dan rakyat dipertingkatkan sepenuhnya.

6. Justeru, saya mencadangkan agar gesaan Ahli Parlimen Kepong ini dipandang secara serius dan mendapat pertimbangan yang munasabah sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Ia dilihat sebagai satu tindakan yang gelojoh dan tidak masuk akal untuk dilaksanakan.

Saya berpendapat, kita perlu mengusahakan mekanisme yang berbentuk pentadbiran dalam memastikan jawatan seperti Datuk Bandar dan institusi seperti DBKL berfungsi secara telus dan bertanggungjawab.

Jawatankuasa yang terdiri dari wakil segenap parti politik di Wilayah Persekutuan sama ada dari pihak kerajaan dan pembangkang mesti diwujudkan bagi menjalankan fungsi semak dan imbang kepada peranan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Malaysia Sejahtera”

USTAZ AZHAR BIN YAHYA
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan

16 Disember 2022 | 21 Jamadilawal 1444H