Home Artikel PAS Pulau Pinang

‘Pihak di sana’ semakin ‘tak senang duduk’ – Norazman

249 views
SHARE

BUKIT MERTAJAM: Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Mertajam, Norazman Ishak menyifatkan hubungan terjalin antara PAS dan Umno kini semakin menggerunkan PH.

“Kita boleh lihat, ‘pihak di sana’ semakin ‘tak senang duduk’ dengan perkembangan terbaru hubungan PAS dan Umno ini. Insya-Allah PRU15 nanti kemenangan akan terhasil dari penyatuan ummah yang dinamik dan jitu ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas hadir memenuhi jemputan ke Persidangan Agung Umno Bahagian Bukit Mertajam yang dilangsungkan di Hotel Ixora Perai, di sini pada 15 Julai.

Mutakhir ini menyaksikan beberapa pimpinan PH menyeru PAS dan Umno untuk menyertai pakatan itu kononnya atas nama penyatuan dan demi kepentingan Melayu.

Selain Norazman, turut sama hadir dengan penampilan baju Melayu serba hijau adalah Timbalan dan Naib Yang DiPertua PAS Bukit Mertajam, Hussain Sazlan dan Adnan Yusof.

Norazman turut melihat bahawa ta’awun siyasi kedua pihak yang memacu kebangkitan ummah turut memberi semangat baru kepada Umno selepas kekalahan PRU14.

Persidangan dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Tajuddin Abdul Rahman itu turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff.

Pimpinan PAS hadir selaku tetamu disebalik 246 perwakilan dari 36 Cawangan Umno yang tampil seragam merah itu dan disambut Ketua Umno Bukit Mertajam, Dato’ Musa Sheikh Fadzir.