Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

#Undi18: Muslimat PAS Siap Sedia Atur Strategi

198 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
17 Julai 2019 bersamaan 14 Zulkaedah 1440

#Undi18: Muslimat PAS Siap Sedia Atur Strategi

1. Muslimat PAS mengalu-alukan keputusan meminda Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan 2019 bagi menurunkan umur layak mengundi daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun dan umur layak menjadi calon juga diturunkan kepada 18 tahun dalam Sidang Dewan Rakyat bertarikh 16 Julai 2019 semalam.

2. Keputusan Rang Undang-Undang (RUU) tersebut menyaksikan sokongan mudah 211 ahli dewan rakyat termasuk PAS, UMNO dan rakan pembangkang yang turut bersetuju dengan pendaftaran pengundian secara automatik seperti yang ditegaskan oleh pembangkang sebelum ini.

3. Sehubungan dengan itu, Muslimat PAS menyahut seruan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hadi Abdul Awang, Presiden PAS yang meminta semua ahli PAS terutama Dewan Muslimat agar mengemaskini dan menyusun jentera bagi menyediakan platform bagi golongan muda berumur 18 tahun ke atas.

4. Muslimat PAS melihat kelulusan ini wajar disambut baik oleh generasi muda yang semakin hari semakin cakna dalam memberi idea dan pandangan yang kritis demi merubah lanskap kepimpinan negara yang kini dipimpin oleh kerajaan Pakatan Harapan.

5. Agenda mendapatkan sokongan pengundi khususnya pengundi muda adalah sangat penting supaya mereka sedar bahawa pilihan yang tepat dan bijak adalah penting bagi memastikan negara ini diterajui oleh kepimpinan Islam yang mahu melihat keadilan Islam ditegakkan dan direalisasikan.

6. Justeru, Muslimat PAS mengambil berat akan tanggungjawab ini bagi memastikan rakyat Malaysia khususnya anak muda akan keluar mengundi dan cakna isu semasa terutama politik di negara ini.

7. InsyaAllah, Muslimat PAS bersiap siaga untuk menggembleng tenaga dari semua peringkat dan akan terus mempergiatkan program-program belia yang dipacu oleh Ameerah Malaysia selaku entiti yang memfokuskan wanita muda dalam menyemai kesedaran politik seterusnya meningkatkan penglibatan wanita dalam masyarakat.

Firman Allah SWT, “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [Surah Muhammad: 7]

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”

YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia