Home Berita PAS Negeri Sembilan

PH gagal proaktif, Negeri Sembilan masih di takuk lama – Pemuda PAS

89
SHARE

Oleh: Amir Zikra

SEREMBAN, 6 Julai – Kerajaan PH digesa untuk mengambil langkah proaktif sebagaimana kerajaan negeri-kerajaan negeri yang telah dan bakal melangkah ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam membendung penularan wabak COVID-19 di Negeri Sembilan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan, Khairul Yazman Yahya berkata, amat malang bagi rakyat Negeri Sembilan yang sehingga ke hari ini kekal berada di tangga kedua atau ketiga kes harian tertinggi di Malaysia, walaupun dengan populasi penduduk yang lebih rendah berbanding Pahang,

Terdahulu, Khairul Yazman menerusi kenyataannya mengucapkan tahniah kepada enam negeri kerana telah memasuki fasa ke-2 PPN. Lima daripada negeri tersebut iaitu Perlis, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu telah memasuki fasa kedua semalam, manakala Pulau Pinang juga akan memasuki fasa ke-2 esok.

“Sampai bila rakyat di Negeri Sembilan harus menanggung kes tinggi setiap hari? Rakyat bimbang dan risau akan keselamatan dan kesihatan diri dan keluarga serta kehilangan kerja dan kekurangan makanan.” luah beliau.

“Apakah langkah-langkah proaktif kerajaan negeri dalam menghadapi situasi begini? Menyalahkan kerajaan pusat adalah perbuatan “bangau oh bangau” yang bersifat keanak-anakan dan tidak patut keluar daripada mulut pemimpin kerajaan negeri yang sepatutnya menunjukkan kematangan.” ujar beliau lagi yang dipetik daripada kenyataannya yang disiarkan di Facebook Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Negeri Sembilan sehingga semalam adalah sebanyak 47,931 kes. Dari jumlah kumulatif tersebut, 39,407 kes telah sembuh dan discaj, 8,104 kes yang masih menerima rawatan di wad dan 420 kes telah meninggal dunia.

– TAMAT –