Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Pewartaan Bara’ di Musim Haji

68 views
SHARE

FADHILAT ibadah korban, manasik haji dan perayaan Aidil Adha merupakan topik yang sering meniti di bibir umat Islam menjelang bulan Zulhijjah.

Selain dari itu, terdapat sebuah peristiwa yang berkait rapat dengan prinsip akidah kita berlaku pada bulan Zulhijjah, sayangnya topik tersebut agak tersisih dari perbincangan umat Islam hari ini.

Peristiwa yang dimaksudkan adalah pewartaan al-Bara’ (pembatalan ikatan hubungan) yang berlaku pada musim haji, waktu kemuncak perhimpunan terbesar umat Islam.

Sebab turun surah Bara’ah

Surah Bara’ah atau at-Taubah merupakan antara surah yang terakhir diturunkan.

Menjadi tradisi turun temurun musyrikin Quraisy bertawaf mengelilingi Kaabah sebagai sebuah ritual agama nenek moyang mereka.

Pada tahun ke-9 hijrah, sekembalinya Nabi S.A.W dari Perang Tabuk, Baginda mendapati Musyrikin Quraisy sedang mengelilingi Kaabah sebagaimana kebiasaan mereka di musim haji. Mereka bertawaf dalam keadaan berbogel dan perbuatan tersebut mengundang rasa tidak senang di hati umat Islam.

Lalu pada tahun tersebut turun ayat yang mengisytiharkan pembatalan semua bentuk ikatan perjanjian antara Nabi dan golongan kafir.

Isi kandungan Warta Bara’ah

Allah S.W.T berfirman:

بَرَاءَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى الَّذِينَ عَاهَدْتُمْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

“(Inilah pernyataan) pemutusan hubungan dari Allah dan Rasul-Nya (yang dihadapkan) kepada orang-orang Musyrik yang kalian (kaum Muslim) telah mengadakan perjanjian (dengan mereka).”

Ekoran dari ayat ini, Nabi S.A.W mengutuskan Saidina Ali dan Saidina Abu Bakr untuk menguar-uarkan ketetapan baru tersebut.

Saidina Ali menceritakan, “Ketika diturunkan Surah Bara’ah kepada Rasulullah S.A.W, Baginda mengutuskanku untuk menyerukan empat perkara. Iaitu;

• Tidak boleh lagi ada orang yang melakukan tawafnya dengan telanjang;

• Seorang musyrik tidak dibenarkan mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini;

• Barang siapa yang telah menjalin perjanjian damai dengan Rasulullah S.A.W, maka batas yang diperuntukkan adalah sehingga tamat masa perjanjiannya;

• Dan tidak akan masuk syurga kecuali jiwa yang beriman.”

Antara pengajaran ayat yang dapat kita ambil:

▪Pernyataan bara’ah atau pemutusan hubungan dan berlepas tangan dari golongan kafir yang melampaui batas merupakan sebuah prinsip Islam.

▪Dalam erti kata lain, golongan mukmin dituntut menyatakan pendirian tegas mereka dan menerangkan kedudukan mereka dengan jelas terhadap orang kafir. Bahkan sikap ini diperakui sebagai satu amalan yang terpuji di dalam Islam.

▪Mengadakan perjanjian dengan orang kafir sememangnya tidak dilarang, akan tetapi perjanjian tersebut jangan sampai mengakibatkan kaum muslimin ditekan. Pembatalan perjanjian ini juga berpunca dari sikap orang kafir yang gemar mencabuli perjanjian mereka dengan Nabi. Maka segelintir golongan kafir yang tidak melanggar perjanjian, diberikan pengecualian.

▪Selain itu, jika kaum muslimin merasakan wujud bahaya disebabkan hubungan bersama puak kafir, maka mereka berhak membatalkan perjanjian tersebut.

Notis awal sebelum diperangi

Selanjutnya Allah S.W.T berfirman:

فَسِيحُوا فِي الأرْضِ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِي اللَّهِ وَأَنَّ اللَّهَ مُخْزِي الْكَافِرِينَ

“Maka berjalanlah kalian (kaum musyrik) di muka bumi selama empat bulan, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya kalian tidak akan dapat melemahkan Allah, dan sesungguhnya Allah menghinakan orang-orang kafir.”

Selepas diumumkan pembatalan hubungan ke atas orang kafir, Allah S.W.T mengkhabarkan bahawa mereka diperuntukkan masa selama 4 bulan agar berfikir masak-masak, sama ada mahu beriman ataupun meninggalkan Kota Makkah. Jika tidak, mereka akan diperangi. Dalam tempoh tersebut juga mereka boleh berjalan dengan aman, tanpa perlu takut kepada orang Mukmin.

Ali bin Abu Talib membacakan warta tersebut kepada orang kafir pada hari Arafah, bahawa masa penangguhan mereka bermula pada 20 Zulhijjah sehingga 10 Rabi’ul Akhir. Pengisytiharan tersebut turut disampaikan oleh Saidina Ali dari rumah ke rumah.

Antara pengajaran ayat ini:

▪Kita tidak sewajarnya melancarkan serangan kepada musuh tanpa memberi amaran terlebih dahulu. Menerangkan punca pertembungan yang berlaku. Kita harus terlebih dahulu menyatakan sikap kita, lalu memberi kesempatan kepada mereka agar menjelaskan sikap dan pendirian mereka.

▪ Islam selalu memberikan kesempatan untuk kembali bagi orang-orang yang sesat. Kita harus menggalakkan mereka bertaubat dan tidak terburu-buru memerangi mereka.

Laungan dan hebahan al-Bara’

Pembatalan hubungan tersebut diulangi sekali lagi dalam ayat ketiga.

وَأَذَانٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الأكْبَرِ أَنَّ اللَّهَ بَرِيءٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ وَرَسُولُهُ فَإِنْ تُبْتُمْ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَإِنْ تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِي اللَّهِ وَبَشِّرِ الَّذِينَ كَفَرُوا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

“Dan inilah suatu hebahan dari Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar, bahawa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya berlepas diri dari orang-orang musyrik. Kemudian jika kalian (kaum musyrik) bertaubat, maka taubat itu lebih baik bagi kalian; dan jika kalian berpaling, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya kalian tidak dapat melemahkan Allah. Dan beritakanlah kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan mendapat) siksa yang pedih.”

Ayat tersebut dimulakan dengan perkataan azan, membawa maksud sebuah seruan. Kebiasaannya dilaungkan dengan suara yang tinggi supaya orang ramai dapat mendengar seruan tersebut. Istilah ini menggambarkan betapa pentingnya al-Bara’ di dalam Islam. Sehingga dianjurkan supaya dilaungkan dengan suara yang tinggi, ketika Haji Akbar yakni kemuncak perhimpunan umat Islam besar-besaran.

Betapa pentingnya amalan ini sehingga Sahabat-sahabat bersilih ganti menyampaikan kepada orang ramai.

Abu Hurairah menceritakan bahawa beliau ada bersama Ali bin Abi Talib ketika Nabi S.A.W mengutus Ali untuk menyerukan hebahan itu. Apabila suara Ali telah serak, maka Abu Hurairah menggantikannya.

Abu Hurairah melanjutkan kisahnya bahawa beliau terus-menerus melaungkan pengisytiharan tersebut hingga suaranya serak.

Antara pengajaran lain ayat tersebut:

▪Himpunan haji merupakan waktu yang tepat untuk memanfaatkan kesatuan umat dalam mendepani musuh Islam

▪Berlepas tangan dari musuh agama merupakan amalan yang terpuji. Pengisytiharan pendirian tegas tersebut boleh dilakukan secara terbuka dengan lantang.

Salah faham al-Wala’ hingga menafikan al-Bara’

Al-Bara’, berlepas diri dan membawa haluan berasingan merupakan pasangan yang mengimbangi hubungan al-Wala’.

Wala’ boleh diertikan sebagai hubungan kesetiaan, teman rapat, dan sekutu dan kepimpinan.

Di antara kesilapan ketara umat Islam hari ini, khususnya ahli gerakan Islam adalah sikap keterlaluan yang membawa kepada fanatik.

Ketaksuban mereka dalam berjanji setia dan menjalinkan hubungan hingga melupakan konsep Bara’ yang juga merupakan prinsip Islam sepertimana konsep Wala’.

Nabi Ibrahim mengajar umat perihal Bara’

Tauladan yang lazim digandingkan bersama peribadi Nabi Ibrahim A.S adalah kisah ibadah korban Baginda.

Firman Allah:

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ إِذْ قَالُوا لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَآءُ مِنكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ كَفَرْنَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَاءُ أَبَدًا حَتَّىٰ تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَحْدَهُ إِلَّا قَوْلَ إِبْرَاهِيمَ لِأَبِيهِ لَأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ وَمَا أَمْلِكُ لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن شَيْءٍ ۖ رَّبَّنَا عَلَيْكَ تَوَكَّلْنَا وَإِلَيْكَ أَنَبْنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ

“Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagi kalian pada diri Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengannya; ketika mereka berkata kepada kaum mereka, “Sesungguhnya kami berlepas diri dari kalian dan dari apa yang kalian sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)kalian dan telah nyata antara kami dan kalian permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampailah kalian beriman hanya kepada Allah..”.”

(Al-Mumtahanah: 4)

Barangkali kita terlupa, Baginda turut dipuji kerana pengumuman bahawa Baginda berlepas diri dan bara’ dari kekufuran bapa dan kaum Baginda.

SOFIA ALWANI ALI
Unit IT Dan Media Baru
Lajnah ‘Alimat Dan Pembangunan Keluarga (LAPK)
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/8/2019