Home Berita PAS Perlis

Petugas barisan hadapan terima bubur lambuk

120
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 1 Ogos: Para petugas barisan hadapan di negeri ini menerima sumbangan sajian petang bubur lambuk daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Arau semalam.

Sumbangan disampaikan oleh wakil LKK PAS Kawasan Arau, Ustaz Ailyas Abd Rahman.

Menurutnya, idea menyediakan sumbangan berkenaan tercetus setelah melihat pengorbanan yang amat besar para petugas barisan hadapan dalam membantu pihak kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

“Ada yang hanya pandai berkata kerajaan gagal tetapi mereka tidak langsung berbuat apa-apa untuk membantu menyelesaikan masalah yang ada pada hari ini.

“Sebaliknya, PAS sentiasa memahami bahawa tugas mengekang penularan wabak ini bukanlah sesuatu yang mudah dan peranan serta pengorbanan yang ditunjukkan oleh para petugas barisan hadapan kita dalam membantu pihak kerajaan amatlah tinggi dan sama sekali tidak terbalas.

“Justeru, sumbangan yang sedikit daripada kami pada hari ini adalah sebagai tanda penghargaan terhadap apa yang telah mereka lakukan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.

Antara yang menerima bubur lambuk berkenaan ialah para petugas KKM yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Wawasan 2020 dan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) serta anggota PDRM di empat buah SJR iaitu di Pauh, Jelempok, Kodiang dan Sanglang.