Home Berita PAS Sabah

Pesta Sukan PASTI lahirkan bintang cilik bola sepak dan bola jaring.

1777
SHARE

Oleh : Mohd Ramlan Pandi
18 Mac 2019

SANDAKAN : Pesta Sukan PASTI Zon Sandakan yang diadakan semalam di Sandakan Futsal, Batu 4 dekat sini telah berjaya melahirkan bintang cilik dalam sukan bola sepak dan bola jaring.

Ia terbukti dengan kemunculan Abdullah Zakir Furqan Bin Nasil, murid PASTI Saidina Uthman Bin Affan dan Noraisa Binti Abi Kasim, murid PASTI Saidina Umar Al-Khattab yang masing-masing menerima Anugerah Pemain Terbaik Bola Sepak dan Anugerah Pemain Terbaik Bola Jaring.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Program, Kamsah Osman ketika diminta mengulas berkaitan aktiviti ko-kurikulum PASTI yang melibatkan murid 4 tahun hingga 6 tahun itu.

“Kita juga melihat kemunculan Aiman Rizqin Bin Shamsudin, murid PASTI Saidina Uthman Bin Affan dan Siti Nurwajaalna Binti Abdul Halim, murid PASTI Saidina Umar Bin Al-Khattab yang dianugerahkan sebagai penjaring terbanyak bagi kedua-dua sukan yang dipertandingkan,” tambahnya.

Aktiviti yang diadakan ini merupakan acara dwitahunan PASTI Zon Sandakan yang turut melibatkan daerah Kinabatangan.

Selain bertujuan memupuk semangat kesukanan dan kecerdasan mental serta kecergasan fizikal para pelajar, ia juga mampu merapatkan hubungan persaudaraan dalam kalangan warga PASTI.

Program yang penuh warna warni itu telah dirasmikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Libaran, Abdul Waheed Bin Mohamad dan disertai oleh 16 buah pasukan.

Johan bagi acara bola sepak telah dinobatkan kepada PASTI Saidina Uthman Bin Affan manakala naib johan disandang oleh PASTI Saad Bin Abi Waqqas dan tempat ketiga serta keempat masing-masing dimenangi oleh PASTI Kinabatangan dan PASTI Abdul Rahman Bin Auf.

Sementara itu, johan bagi acara bola jaring pula dirangkul oleh PASTI Umar Al-Khattab, diikuti naib johan PASTI Abdul Rahman Bin Auf, sementara tempat ketiga dan keempat masing-masing disandang oleh PASTI Saidina Hamzah dan PASTI Saad Bin Abi Waqas.