Home Berita PAS Sabah

Perwakilan PAS Sabah Cadang Pemartabatan Pendidikan Atasi Ketinggalan

45
SHARE

Mohd Ezwan Reji
17 September 2024

KOTA KINABALU: Dalam sesi perbahasan sempena Muktamar Dewan Ulamak PAS Malaysia baru-baru ini, perwakilan PAS Negeri Sabah, Ustaz Roslan Ramli mengemukakan cadangan penting untuk memartabatkan institusi pendidikan dengan pendekatan yang holistik.

“Pendekatan holistik melibatkan kerjasama antara semua pihak, sama ada kerajaan, institusi pendidikan, masyarakat setempat atau pihak lain adalah penting dalam usaha memartabatkan pendidikan khususnya di Sabah,” katanya.

Beliau mengimbau kejayaan Tadika PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam) yang kini telah berkembang kepada lebih 2,497 buah di seluruh Malaysia pada tahun 2024, menyediakan pendidikan prasekolah kepada lebih 125,000 murid dengan sokongan daripada lebih 9,500 guru. Beliau juga memuji perkembangan positif sekolah-sekolah seperti SRITI dan SMITI yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa peningkatan infrastruktur pendidikan khususnya di Sabah perlu diberikan perhatian yang lebih serius.

“Beberapa isu kritikal berkaitan pendidikan berlaku di Sabah antaranya termasuklah infrastruktur sekolah yang kurang memadai, keadaan sekolah yang daif di kawasan pedalaman, serta akses jalan yang teruk,” ucapnya lagi.

Beliau menggesa agar langkah-langkah segera diambil untuk menangani masalah ini, termasuklah menaiktaraf kemudahan infrastruktur sekolah, pemerkasaan teknologi, serta kemudahan asas lain seperti elektrik dan air untuk memastikan pendidikan di Sabah berkembang dengan baik.

Roslan menyampaikan ucapan perbahasannya semasa Muktamar Dewan Ulamak PAS Malaysia yang dilaksanakan di Kompleks Imam As-Syafie, Jerantut, Pahang.