Home Berita PAS Negeri Sembilan

Perutusan Yang Dipertua PAS Port Dickson sempena Maal Hijrah

97
SHARE

Perutusan Yang DiPertua PAS Kawasan Port Dickson Sempena Maal Hijrah 1443H bersamaan 10 Ogos 2021M

Alhamdulilah, marilah sama-sama kita menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T atas limpah rahmat dan hidayahNya, kita diberi peluang bertemu dengan tahun baharu Hijrah 1443H. Detik 1 Muharam 1443H bersamaan 10 Ogos 2021 ini, seharusnya menjadi satu titik untuk seluruh kita melangkah lebih jauh ke hadapan secara kolektif dan penuh semangat berdasarkan gagasan kesepakatan, keterangkuman dan keterlibatan dalam perjuangan ini.

Sesungguhnya, jika diimbau kembali sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W dalam menyebarkan syiar Islam kepada seluruh ummah, terlalu banyak perkara yang boleh dipelajari, dihayati dan diteladani untuk menempuh kehidupan hari-hari mendatang.

Hijrah yang dilakukan Baginda Rasulullah S.A.W telah menempuh pelbagai cabaran terutama bagi menyatukan orang-orang Arab yang terdiri daripada pelbagai suku kaum di Madinah. Penyatuan itu dilaksanakan dengan kesabaran dan kebijaksanaan mengikut acuan Al Quran terutama dalam membina sebuah negara Islam Madinah yang hebat.

Justeru, penyatuan ummah perlu dijadikan teras dalam membina kekuatan sesebuah negara. Kemelut politik yang berlaku di negara kita perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Kepelbagaian parti politik yang ada dalam kepimpinan negara kita iaitu PAS, Umno, Bersatu, rakan-rakan GPS, MCA, MIC perlu duduk semeja mencari titik persamaan bagi mengukuhkan kerajaan yang ada.

Benarlah dengan Tema Maal Hijrah tahun ini “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti”. Penyatuan merupakan tuntutan Al-Quran, kerana dengan penyatuan itu akan dapat membina sebuah negara yang aman dan maju dan seterusnya mampu melahirkan Ummah yang berkualiti.

Pembinaan negara Rabbani perlu berlandas mengikut apa yang digariskan oleh Al-Quran kerana sejarah telah membuktikan era kegemilangan Islam adalah zaman pemerintahan Baginda Rasulullah SAW yang benar-benar berjaya. Justeru, segala peraturan dan undang-undang yang digariskan dalam Islam perlu laksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Tema “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” menuntut kita semua agar mampu menempuh dugaan yang datang dengan bjaksana dan penuh kesabaran terutama dalam melaksanakan amanah dakwah untuk menegakkan syiar Islam. Manhaj Rabbani yang dipupuk mampu melahirkan Ummah yang berkualiti.

Negara kini dilanda pandemik Covid-19 yang menuntut kerjasama daripada semua pihak dalam usaha menanganinya dari terus merebak. Oleh itu, PAS Kawasan Port Dickson menyahut seruan kerajaan terutama mengadakan kempen pengambilan vaksin di kalangan masyarakat. Walaupun Negeri Sembilan masih berada di fasa Satu Program Pemulihan Negara, namun komitmen semua pihak perlu bekerjasama agar mampu beralih ke fasa kedua dalam masa terdekat.

Saya selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Port Dickson bersama Ahli Jawatankuasa mengucapkan selamat menyambut tahun baharu 1443 Hijrah kepada semua warga Port Dickson.
PAS akan meneruskan usaha tarbiyah dan dakwah serta siyasah kerana ia merupakan kunci kejayaan hijrah Rasulullah SAW membina negara Islam Madinah suatu ketika dulu.

Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar ketibaan tahun 1443H ini akan menatijahkan kehidupan kita yang lebih baik, penuh keberkatan dan memperolehi kebahagiaan dan kerahmatan dari Allah S.W.T serta di jauhkan dari gejala wabak Covid-19 kepada seluruh rakyat Malaysia..

Sekian, wassalam.

ABDUL FATAH BIN ZAKARIA
YDP PAS Kawasan Port Dickson