PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA MAULIDURRASUL 1439H
Perjalanan hidup Nabi Muhammad S.A.W adalah qudwah dan contoh untuk umat Islam terutamanya pendekatan dakwah dan politik yang pernah diambil oleh Baginda S.A.W sama ada semasa Islam berada di dalam keadaan lemah atau berada di dalam keadaan kuat. Sirah Baginda bukanlah sekadar mengetahui peristiwa atau sejarah, bahkan tujuan sebenarnya ialah untuk memahami tasawwur Islam yang hakiki.
Salah satu anggapan yang tidak betul apabila ada pihak yang mengatakan bahawa Islam dan gerakannya masa kini tidak mampu menghadapi golongan mustakbirin di dalam dan luar negara, kerana bilangan dan kekuatan musuh mengatasi mereka berlipat kali ganda. Apa yang kita hadapi sekarang itulah juga yang pernah dihadapi oleh Nabi S.A.W dan para sahabat. Kalau hari ini rangkaian musuh Islam diperingkat nasional, maka pakatan dan strategi yang sama telah mereka lakukan ke atas negara Islam pertama di Madinah pada zaman Nabi S.A.W.
Rahsia kejayaan Rasulullah S.A.W dan zaman keemasan Islam adalah keteguhan berpegang pada dasar dan prinsip Islam. Ketika Rasulullah S.A.W didatangi Abu Talib yang membawa hasrat pembesar Makkah dengan ditawarkan kemewahan harta dan takhta bersyaratkan mengekalkan dasar dan sistem jahiliah, lantas Baginda S.A.W dengan tegas menyatakan:
يا عم، والله لو وضعوا الشمسَ في يميني، والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر حتى يُظهره الله، أو أهلك فيه ما تركته. السيرة النبوية لابن هشام (1/ 372)
“Wahai bapa saudara kesayanganku! Sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan (menegakkan Islam) ini sehinggalah Allah memenangkannya atau aku mati sebelumnya (ketika masih dalam perjuangan), nescaya aku tidak meninggalkan perjuangan ini.” (Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam: 372/1)
PAS ditubuhkan sebagai mata rantai perjuangan Islam telah meletakkan rujukan tertinggi dalam perjuangannya berpandukan Al-Quran, Sunnah Nabawi beserta Ijma’ dan Qias. Maka PAS membentuk Majlis Syura Ulama’ untuk menjaga perjalanannya supaya berada benar-benar di atas landasan Islam dalam ijtihad politiknya.
Inilah sumber kekuatan PAS untuk terus kekal relevan menghadapi onak duri dan lautan gelora yang masih kekal berada dipentas politik sejak penubuhannya sebelum merdeka di saat parti sezaman dengannya sudah hilang ditelan arus zaman. PAS tidak akan ditipu atau tertipu dengan pihak lawan yang cuba mengubah halatuju perjuangannya selagi terus beristiqamah dengan Islam.
Bersempena Sambutan Maulidurrasul pada tahun ini, kita bukan sekadar menghayatinya seperti cerita-cerita yang disebut atau dinyanyikan pada hari jadi atau memuja umur atau pertabalan atau kewafatan dengan laungan semata-mata atau membentangkan slogan-slogan yang ditulis pada sepanduk-sepanduk, bahkan kita menghayati dan mengambil seluruh kehidupan Baginda S.A.W dalam semua urusan aqidah, syariat dan akhlak, berpandukan Firman Allah S.W.T:
وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ [الحشر/7]
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya, maka patuhilah larangan-Nya, sesungguhna Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)” (Surah al-Hasyr: 7)
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Rabiul Awal 1439 / 1 Disember 2017