Home Berita Presiden

Perutusan Presiden PAS: Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1440H

2718
SHARE

Perutusan Presiden PAS

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI 1440H

Alhamdulillah segala puji bagi Allah mengurniakan nikmat dan rezeki untuk kita menunaikan ibadat puasa sebulan Ramadan yang berkat itu, supaya menjadi hamba yang bertaqwa kepada-Nya.

Ambillah peluang untuk masuk ke dalam pintu taubat yang dibuka Allah yang sangat luas peluang dan masanya laksana jarak di antara timur dan barat. Percayalah kepada janji Allah yang menerima taubat nasuha daripada mereka yang masih beriman walaupun dosanya sepenuh bumi. Amal yang soleh juga boleh menghapuskan dosa, khususnya ibadat puasa Ramadan, sehingga dihapuskan dosa kecil sepanjang tahun dengan syarat meninggalkan dosa besar, atau bertaubat setelah melakukannya.

Hari Raya kita bertakbir menyambutnya bagi menyatakan kesyukuran kepada Allah:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (185(

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari dan masa berpuasa itu), dan bertakbirlah membesarkan Allah (memuliakannya) di atas petunjuk yang diberi kepada kamu, supaya kamu bersyukur kepada-Nya.” (Surah Al-Baqarah: 185)

Maka nikmat paling besar ialah menjadi orang Islam yang diberi petunjuk Al-Quran dan diutuskan rasul yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Wajiblah kita mengikut petunjuk Allah daripada Al-Quran itu sebagai panduan seluruh cara hidup kita, sama ada hubungan kita dengan Allah, sesama manusia dan juga mentadbir urusan kita, termasuk mengambil rezeki-Nya.

Kita menyaksikan hari ini bahawa ramai daripada umat Islam tidak bersyukur kepada Allah dan kufur nikmat Islam, disebabkan runtuh akhlak dan buruk perangainya, kerana terpengaruh dengan syaitan manusia dan jin. Sehingga terpengaruh dengan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, berperangai tidak senonoh, sehingga mabuk arak dan dadah, melakukan jenayah membunuh dan mencederakan orang, mengambil harta secara haram dengan menipu, mencuri harta, rasuah dan lain-lain.

Memerintah negara dan mengurus ekonominya pula banyak perkara tidak mengikut hukum Allah. Terpengaruh dengan bukan Islam, memerintah dan mencari harta tanpa mengira batas cara halal dan haram seperti memakan rasuah, riba dan lain-lain, menyebabkan mereka menjadi umat yang mundur dan lemah, walaupun bilangan mereka ramai dan berada di atas bumi yang banyak hasilnya, tetapi lebih banyak diambil oleh orang-orang bukan Islam, bahkan banyak yang digunakan pula bagi merosakkan umat Islam sendiri, sehinggalah membeli senjata untuk membunuh sesama umat Islam dan menghancurkan tanah air mereka sendiri.

Marilah pada hari raya yang diberi Allah ini, supaya kita bergembira kerana bersyukur menunaikan ibadat puasa yang banyak fadilatnya bagi diri kita. Bukan sahaja pahalanya yang besar, bahkan mengajar kita supaya menjadi manusia yang baik hubungannya dengan Allah dan persaudaraan sesama kita.

Tunjukkan kesyukuran itu pula dengan bukti bertambah kuat berpegang kepada Islam dengan kuatnya hubungan kita kepada Allah dan tunjukkan kebaikan Islam kepada mereka dengan bersaudara dan bermaafan.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS