Home Artikel PAS Sabah

MEMAKNAKAN EIDUL FITRI SEMPURNA SEADANYA

52 views
SHARE

Firman Allah SWT:

…وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

…Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Surah Al-Baqarah: 185)

Alhamdulillah segala puji tertentu bagi Allah yang telah menghadirkan bulan Ramadhan dalam kehidupan kita. Sewajarnya kita meletakkan pengharapan yang tinggi kepada Allah agar menerima segala ibadah yang telah kita laksanakan sepanjang bulan Ramadhan, semoga kita beroleh keampunan dan ketaqwaan yang berkekalan hingga ke akhir usia.

*SYUKUR ATAS NIKMAT*

Setelah selesai kita melaksanakan ibadah puasa yang difardhukan, Allah SWT memerintahkan kita agar bertakbir membesarkan-Nya agar kita sentiasa berada di atas petunjuk Allah yang benar sehinggalah kita tergolong dalam kalangan hamba Allah yang bersyukur. Ketahuilah bahawa syukur itu ada penghargaan. Penghargaan kita terhadap segala nikmat yang telah Allah berikan dalam kehidupan. Penghargaan tersebut perlulah dizahirkan penggunaan nikmat yang dianugerahkan dengan amalan pengabdian kepada Allah secara ikhlas dan benar, bukanlah dengan jalan maksiat dan kepura-puraan.

*KUFUR BALASANNYA AZAB*

Lawan bagi syukur itu adalah kufur. Dalam erti kata lain, apabila seseorang itu menggunakan nikmat yang dianugerahkan pada jalan maksiat dan dosa maka itulah yang dinamakan kufur nikmat. Kufur nikmat itu balasannya adalah azab daripada Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 7:

وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَئِن شَكَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَئِن كَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٞ

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

Sebagai contoh yang hampir, manusia itu boleh dikatakan sebagai kufur apabila diberikan kuasa pemerintahan kepadanya maka digunakannya pada jalan yang salah dan batil. Itulah yang terjadi pada era kepimpinan Pakatan Harapan masa kini yang telah menunjukkan kebobrokan dalam kesemua aspek pentadbiran. Maka untuk menyelamatkan mereka dari kekufuran yang berterusan rakyat dan pakatan pembangkang perlu sentiasa berani dan bersemangat dalam menegur dan memperbetul keadaan mereka secara berhikmah. Jadikan semangat Ramadhan yang berlalu sebagai medan mengukuhkan jati diri kita agar tidak sesekali bertoleransi terhadap kebatilan, itulah yang diajar oleh al Quran yang Allah turunkan dalam bulan Ramadhan yang mulia. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185:

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Justeru, jadikanlah bulan Ramadhan yang telah berlalu sebagai pembakar semangat untuk kita bangkit menentang kebatilan yang kian bermaharajalela. Ubahlah minda kita, kukuhkan kesatuan kita, pastikan Islam sentiasa dihadapan dan yang paling diutamakan. Hanya dengan Islam, nescaya semua mampu diselamatkan.

*KESEMPURNAAN HANYALAH DENGAN TAQWA*

Kemeriahan Eidul Fitri bukanlah disempurnakan dengan dendangan lagu raya. Bahkan bukan juga dengan baju atau juadah yang beraneka rasa. Kemeriahan dan kegembiraan itu akan dapat dirasai apabila jiwa taqwa subur dalam diri. Untuk menyuburkan sifat taqwa tersebut maka Allah telah menghadiahkan ibadah puasa di bulan Ramadhan buat kita, firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Oleh itu, sayugia apabila berakhirnya bulan Ramadhan dan tibanya bulan Syawal, perlulah kita muhasabah diri dan amalan kita. Jika diri kita semakin bersemangat mendekatkan diri kepada Allah, semangat menegakkan kebenaran menggapai janji Allah, bertambahnya amal ibadah kita, ringan tubuh badan dalam berbuat taat, maka itu tanda taqwa subur dalam jiwa dan sewajarnya kita meraikan kegembiraan atas kejayaan mencapai darjat kemuliaan tersebut. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). [Surah al Hujurat:13]

Kemuliaan disisi Allah itulah merupakan kemuncak kesempurnaan yang sebenar. Justeru, kemeriahan Eidul Fitri akan lebih sempurna jika sifat taqwa itu subur dalam jiwa setiap insan yang beriman.

*HULURKAN TANGAN ERATKAN PERSAUDARAAN*

Bulan syawal menjadi adat kebiasaan rakyat Malaysia menziarahi sanak saudara dan sahabat handai. Adat ini sangat baik untuk dikekalkan kerana menepati sunnah baginda Nabi Muhammad SAW yang menggalakkan kita saling menziarahi antara satu sama lain. Semoga dengan amalan ini menambahkan lagi keharmonian antara kaum yang pelbagai di negara ini.

Pada kesempatan ini juga, saya sebagai Yang Di-Pertua PAS Kawasan Kinabatangan mewakili saff kepimpinan PAS Kawasan Kinabatangan mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri dan memohon kemaafan terhadap segala kekurangan kami yang terlihat di mata masyarakat khususnya di daerah Kinabatangan.

Semoga Allah menerima amalan kami dan kalian. Sekian wabillahi taufiq wal hidayah.

Innah Tutton
YDP PAS Kawasan Kinabatangan