Home Kenyataan Media PAS Perlis

Perutusan Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis Sempena Hari Raya Aidilfitri 2017 Bersamaan 1438 Hijrah

768
SHARE

1. Pertamanya, marilah kita bersama-sama merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana telah berjaya menunaikan Rukun Islam yang ketiga dan kita sekali lagi dapat menyambut tibanya fajar Syawal.

2. Ramadhan adalah bulan terbaik untuk melakukan perubahan dalam diri kita. Allah SWT mengajar kita untuk bermujahadah menahan kemahuan dan keinginan nafsu, maka Hari Raya adalah hari kita meraikan hari kemenangan menentang hawa nafsu yang telah disifatkan junjungan kita Nabi Muhammad SAW sebagai jihad terbesar bagi umatnya. Mudah-mudahan Allah menerima ibadah kita dan memanjangkan usia kita ke Ramadhan akan datang.

3. Puasa itu menjadi benteng kepada orang yang beriman daripada mengikut kemahuan dan keinginan nafsu. Maka natijah puasa sepatutnya menjadikan umat Islam bersedia menjadi benteng dalam menegakkan hukum Allah SWT dan menolak sebarang usaha yang cuba merosakkannya.

4. Kepada anak Perlis di perantauan terutama anak muda, semoga selamat dalam perjalanan pergi dan pulang ke destinasi. Jadikanlah Syawal ini sebagai satu titik mula untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik.

5. PRU-14 semakin hampir, saya yakin rakyat perlis terutama anak muda bijak dalam membuat pilihan. Anak muda adalah agen perubahan dan pencorak masa depan negara. Marilah bersama-sama dengan PAS untuk kita mengubah negara ke arah yang lebih baik.

6. Pada kesempatan ini, marilah kita menguatkan ikatan ukhuwah, persaudaraan sesama kita dengan ikatan iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga tidak ada beza antara satu sama lain. Kita adalah satu ummah, laksana satu jasad yang bersambung di antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab, bertolong-tolongan tanpa mengira latar belakangnya.

7. Akhir kalam, saya mewakili BPPN Perlis mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Perlis. Semoga sebulan kita berada di dalam madrasah Ramadhan menatijahkan satu impak yang besar kepada diri kita dan masyarakat sekeliling.

Sejahtera Bersama Islam

YB Mohd Shukri Bin Ramli
Pesuruhjaya
PAS Negeri Perlis
24 Jun 2017

{jathumbnail off}