Home Berita Presiden

Perutusan Nuzul Al-Quran 1439H

330 views
SHARE

PERUTUSAN NUZUL AL-QURAN 1439H

Bulan Ramadan bukan sekadar mengingatkan kita dengan berpuasa di siang hari, tetapi bulan ini juga mengingatkan kita dengan bulan Al-Quran, mukjizat ilmu paling agung kepada umat akhir zaman sehingga ternyata kebenarannya melalui kajian sains dan berjaya mengalahkan teori falsafah barat. Firman-Nya:

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ [البقرة: 185[

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” [Al-Baqarah: 185]

Umat Islam mengalami zaman kelemahan apabila meninggalkan petunjuk Al-Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W serta salah cara melaksanakannya kerana tidak berilmu dan meninggalkan budaya ilmu. 

Sepatutnya dalam kita menikmati hidup di Bulan Al-Quran, menyedarkan setiap manusia betapa pentingnya kembali kepada pelaksanaan Al-Quran yang sempurna dan menyeluruh sama ada dalam aspek ibadat, akhlak, ekonomi, politik, sosial, perundangan, pendidikan dan sebagainya.

Al-Quran dan As-Sunnah wajib diangkat menjadi hukum tertinggi negara melangkaui Perlembagaan Persekutuan dan segala hukum ciptaan manusia, kerana menjadi tanggungjawab bagi sesiapa berkuasa meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah di tempatnya yang tertinggi. Inilah tanggungjawab generasi terkini setelah generasi terdahulu berjaya meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Akhir sekali, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Nuzul Al-Quran 1439H kepada seluruh umat Islam walau di mana jua berada. Marilah kita bersama-sama memperbanyakkan membaca Al-Quran, menghayati maknanya dan melaksanakan kandungannya dalam seluruh kehidupan individu, bermasyarakat dan bernegara.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

SHARE
Previous articleSalam Nuzul Quran
Next articleSumbangan Buat Murobiton