Home Artikel PAS Sabah

PERUTUSAN MEMPERINGATI NUZUL QURAN 1440H.

124 views
SHARE

Bulan Ramadan adalah bulan penuh keberkatan. Bulan dimana turunnya ayat suci Al-Quran. Bulan Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ramadan adalah bulan al-Quran. Satu-satunya bulan yang disebut dalam al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi penyuluh jalan kebenaran.

Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat.” Surah al-Dukhan ayat 3.

‘Malam yang berkat’ yang dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Dukhan itu adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan rahmat, yang lebih besar keutamaannya dari ibadah seribu bulan.

Maka Allah SWT telah memilih tarikh turun kalam-Nya buat pemimpin umat sejagat Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan kemuliaan itu untuk berlaku pada hari yang mulia iaitu malam al-Qadar itu sendiri.

Umum mengetahui bahawa membaca al-Quran adalah sebaik ibadat untuk taqarrub kepada Allah SWT. Ganjaran yang Allah SWT beri kepada pembaca kalamnya ini adalah, setiap huruf dikurniakan satu kebaikan yang digandakan kepada 10. Sudah tentu jika dipadukan kelebihan ini dan kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan akan memberi satu kepuasaan kepada mereka yang merebut peluang tadarus al-Quran di bulan Ramadan.

Bulan penuh keampunan ini adalah bulan menguatkan azam untuk memperbaiki diri serta menghisab diri atas setiap nikmat dan ujian yang telah kita jalani selama setahun.

Seharusnya kita perlu mengambil ibrah dalam setiap peringatan isi Al-Quran dari segenap aspek samada dari sudut ibadah, akhlak, ekonomi, politik, pendidikan, perundangan dan lain-lain sebagai panduan tertinggi bagi kita. Kembali kepada isi Al-Quran adalah kembali kepada fitrah kehidupan.

Akhir sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Nuzul Al-Quran 1440H kepada seluruh umat Islam walau di mana jua berada. Marilah kita bersama-sama mengambil ibrah dan memperbanyakkan membaca Al-Quran, menghayati maknanya serta melaksanakan kandungannya dalam seluruh kehidupan kita.

“Sejahtera Bersama Islam”

Ahmad Naufal
Yang Dipertua
PAS Kawasan Batu Sapi.