Home Kenyataan Media PAS Kelantan

Perutusan MB Kelantan sempena Hari Kebangsaan ke-60

783
SHARE

FIRMAN Allah Taala:   

Maksudnya: Orang-orang yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat. Mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara mungkar. Dan bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Al-Hajj:41)

Apabila mengingati hari kemerdekaan, kita teringatkan kisah Rasulullah SAW yang memainkan peranan memerdekakan masyarakat Arab dan manusia umumnya daripada segala bentuk penjajahan. Hasil usaha Baginda SAW berjuang membebaskan tanah air daripada penjajahan jahiliah, maka Allah telah kurniakan dengan suatu pembukaan dan kemenangan yang besar di Kota Mekah. Firman Allah Taala:

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (Wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang nyata. (Al-Fath: 1)

Ayat ini menyentuh tentang kemerdekaan kota Mekah melalui peristiwa pembukaan kota Mekah yang menyaksikan berakhirnya amalan-amalan jahiliyah seperti perzinaan, pelacuran, membunuh anak perempuan hidup-hidup, menzalimi golongan yang lemah dan berakhirnya budaya tipu menipu.

Melalui sirah junjungan besar Nabi Muhammad SAW inilah, sewajibnya para pemimpin yang berjiwa merdeka membebaskan minda mereka daripada mentaliti yang hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri. Sebaliknya keperluan rakyat mestilah diutamakan kerana ia adalah tanggungjawab yang terpundak dibahu setiap pemimpin.

Hayatilah sifat bertanggungjawab generasi yang ditarbiah oleh Rasulullah SAW. Sebagai contoh, Sayyidina Umar Al-Khattab merupakan seorang pemimpin yang sangat mengambil berat hal kebajikan rakyatnya. Pernah pada suatu malam, ketika meronda di sekitar kota, beliau terdengar suara tangisan anak-anak kecil.

Apabila diselidiki, beliau mendapati anak-anak tersebut menangis kerana kelaparan. Lalu beliau mengambil sendiri gandum di Baitul Mal dan memasak serta menghidangkannya kepada keluarga dhaif tersebut. Inilah contoh pemimpin yang mengutamakan kebajikan rakyat berbanding kepentingan dirinya sendiri.

Seharusnya para pemimpin yang ada pada hari ini juga di semua peringkat hendaklah mempunyai ciri-ciri yang telah ditunjukkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab. Para pemimpin bukan hanya pandai menjanjikan sesuatu kebajikan kepada rakyatnya sahaja, tetapi apa yang lebih penting ialah menepati segala janji yang telah diberikan.

Pemimpin dan rakyat yang berjiwa merdeka juga sudah tentu tidak meredhai sebarang bentuk penjajahan apatah lagi  penjajahan ke atas hak asasi manusia. Saudara seaqidah di Rohingya umpamanya bukan setakat dijajah kampung halaman mereka tetapi diperlakukan seperti haiwan. Hal ini menuntut seluruh umat Islam dan mereka yang cintakan keadilan bangkit menyatakan bantahan dan menuntut pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

MERAKYATKAN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM
KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN
Menteri Besar Kelantan