Home Kenyataan Media Presiden PAS

Perutusan Khas Presiden PAS: Selamat Hari Raya Aidilfitri 1441H

730
SHARE


Perutusan Khas Presiden PAS

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1441H


﴿وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ١٨٥﴾ [البقرة: 185]

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur(185)” [Surah Al-Baqarah: 185]

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada rakyat Malaysia beragama Islam di seluruh negara dan di perantauan.

Kita menyambut Hari Raya Aidilfitri bersempena meraikan kemenangan berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan. Selama sebulan ditarbiah roh, jasad dan akal supaya tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

Ibadat puasa yang mendidik umat Islam untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah bukan sekadar mengejar pahala berganda sahaja, menanam sifat integriti dengan merasai diri dipantau oleh Allah Yang Maha Melihat dan Maha Mendengar serta membina sahsiah diri melalui amal ibadat dan hubungan sesama manusia berkonsepkan berkebajikan dan persaudaraan sesama Islam dan manusia.

Al-Quran yang diturunkan dalam bulan Ramadhan adalah hidayah petunjuk kepada umat akhir zaman. Disuruhnya umat Islam untuk bersatu padu atas semangat persaudaraan Islam dengan melakukan islah dan mendamaikan antara dua pihak yang bertelingkah dan bertelagah.

Seterusnya bermuamalat dan membentuk perpaduan sesama manusia dalam keluarga yang besar berkonsepkan taaruf antara kaum dan bangsa yang berbeza dan saling tolong menolong dalam hidup bermasyarakat madani.

Marilah umat Islam kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah, perkukuhkan perpaduan umat Islam dan tegakkan Islam yang memimpin masyarakat majmuk dengan konsep adil untuk semua. Tunaikan tanggungjawab kita bersama Islam.

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS