Home Kenyataan Media Presiden PAS

Perutusan Khas Presiden PAS: Nuzul Al-Quran 1441H

1088
SHARE

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ 2:185

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan daripada petunjuk serta pembeza (antara yang hak dan yang batil)…” (Surah al-Baqarah: 185)

Hikmah Allah SWT memuliakan al-Quran apabila diturunkan di dalam bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan fadhilatnya. Tujuan penurunan al-Quran adalah untuk menentukan perbezaan antara benar dan salah, adil dan zalim, petunjuk dan kesesatan.

Segala petunjuk al-Quran itu adalah kasih dan rahmat Allah SWT kepada manusia dengan menunjuki jalan yang benar sehingga membawa kebaikan kepada mereka di dunia dan akhirat. Sesiapa yang meninggalkan petunjuk al-Quran, dia akan berada dalam kesesatan dan kemusnahan hidup di dunia dan di akhirat.

Orang Islam sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT yang telah memberi petunjuk kepada mereka.

Kesyukuran itu dapat dibuktikan dengan berpegang kepada al-Quran yang merupakan petunjuk Allah SWT yang telah diajar cara beramal oleh Rasulullah SAW melalui apa yang diwariskan oleh para ulama’ yang menerima pusaka ajaran-ajaran para rasul.

Kesimpulannya, dengan semangat kita berada di dalam bulan Ramadhan ini, marilah kita meletakkan keazaman di dalam diri kita untuk melaksanakan tuntutan Al-Quran dengan mempelajari al-Quran, memahaminya, menghafalnya, menyebarkannya, mempertahankan dan memperjuangkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam al-Quran sehingga ianya kembali dilaksanakan di atas muka bumi Allah SWT ini.

“Selamat Menyambut Hari Nuzul Al-Quran”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS