Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Perutusan Khas DUPP : Marhaban Ya Ramadan Karim

1184
SHARE

PERUTUSAN KHAS
Dewan Ulamak PAS Pusat

29 SYAABAN 1441H  l  23 APRIL 2020

MARHABAN YA RAMADAN KARIM

Firman Allah SWT :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” – [Surah Al-Baqarah 183]

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)  mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan dan selamat menjalani ibadah berpuasa kepada seluruh muslimin dan muslimat di mana sahaja berada. Semoga kehadiran Ramadhan yang mulia lagi penuh barakah ini kita semua memperoleh ganjaran besar yang disediakan khas di dalam bulan ini oleh Allah SWT kepada umat Baginda SAW.

2. Bulan Ramadhan yang sinonim dengan pensyariatan kewajipan berpuasa bukanlah bulan untuk umat Islam merasai lemah dan lesu ekoran dari tahan lapar dan dahaga di siang hari. Ibadah puasa merupakan pentarbiyahan dari Allah agar umat Islam merasai akan hikmah darinya, antaranya :

i. Rasa bersyukur atas kurniaan rezeki yang berupa makanan dan minuman.
ii. Rasa keprihatinan dalam kebersamaan dengan orang yang kesempitan dan ketiadaan makan minum.

3. Ramadhan pada tahun ini pastinya menjadi sejarah dalam kehidupan dengan situasi yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Dalam situasi kita berhadapan untuk menangani wabak COVID-19 ini, penangguhan sebarang aktiviti keagamaan yang bersifat himpunan di masjid adalah bersifat memenuhi maqasid al-syariah dalam memelihara nyawa (حفظ النفس).

4. Sehubungan itu, DUPP menyeru seluruh kaum muslimin dan muslimat untuk terus patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terus berada di rumah masing-masing dengan menghidupkan suasana ibadah bersama ahli keluarga seperti :

i. Mendirikan solat fardhu 5 waktu dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.
ii. Mewujudkan halaqah tadarus al-Quran dan ketua keluarga memimpin tazkirah ringkas.
iii. Terus mengikuti majlis ilmu yang terdapat dalam talian (online) terutamanya dari kalangan pimpinan dan para asatizah PAS.

5. DUPP juga menasihati agar umat Islam tidak merasa kecewa dan lemah semangat dengan suasana ibadah di dalam bulan Ramadhan yang kita tidak dapat hadir ke masjid secara beramai-ramai. Walaupun berada di rumah namun kita diberi ganjaran pahala kerana patuh seruan pemimpin yang telah keluarkan arahan agar berada di rumah dan ini sejajar dengan hadith dari Abu Hurairah yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَن أطَاعَنِي فقَدْ أطَاعَ اللَّهَ، ومَن عَصَانِي فقَدْ عَصَى اللَّهَ، ومَن يُطِعِ الأمِيرَ فقَدْ أطَاعَنِي، ومَن يَعْصِ الأمِيرَ فقَدْ عَصَانِي

Maksudnya :
“Sesiapa yang mentaatiku maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Maka sesiapa menderhakai kepadaku maka dia telah menderhakai kepada Allah. Dan sesiapa mentaati ketua (pemerintah) maka sesungguhnya dia telah mentaatiku. Namun siapa yang menderhakai pemerintah maka dja telah menderhakai aku.” – riwayat al-Bukhari

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)