Home Artikel PAS Perak

Perutusan Kemerdekaan ADUN Selama

10 views
SHARE

[Sayangi Malaysiaku Istiqamah Dalam Islam]

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah S.W.T yang mengurniakan kenikmatan hidup di dunia ini. Salah satu dari nikmat Allah buat kita ialah Kemerdekaan. Tahun ini kita bersama menyambut Kemerdekaan Malaysia kali ke 61.

Islam sememangnya menekankan aspek Kemerdekaan dalam kehidupan. Malahan Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W melarang penindasan juga penjajahan samada secara fizikal mahupun minda. Islam turut menganjurkan keadilan dan kebaikan. Firman Allah S.W.T dalam surah An Nahl ayat ke 90:

‎إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

Saya bersyukur diatas keamanan yang Allah kurniakan kepada Malaysia. Sama-samalah kita menjaga tanah air kita ini dengan penuh tanggungjawab agar ia tidak dijajah semula. Betapa sukarnya pejuang-pejuang terdahulu berjuang untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah. Moga roh mereka tenang bersama para solihin.

Rub’ie bin A’mir pernah berkata ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

‎الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله، ومن ضيق الدنيا إلى سعتها، ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام

Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Rub’ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.

Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?

Menurut pendeta Za’aba, erti kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan Dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”

Justeru itu, kemerdekaan yang sebenar ialah membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia dan membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan Islam.

Islam juga menganjurkan kita mencintai tanah air. Bahkan Islam mengajak kita berkenalan dan berkasih sayang sesama manusia tanpa mengira bangsa, kaum, jantina dan agama. Malahan Islam juga mengajar kita erti Keadilan dan kebebasan yang sejati.

Justeru itu, saya mengajak semua rakyat Malaysia khususnya warga Selama agar bersama sayangi Malaysia beristiqamah dalam Islam. Semoga dengannya kita mendapat keredhaan dari Allah S.W.T.

Mohd Akmal Bin Kamarudin,
ADUN Selama.