Home Kenyataan Media Presiden PAS

Perutusan Hari Kebangsaan Kali Ke-65

111
SHARE

Perutusan Hari Kebangsaan Kali Ke-65

Sejarah kemerdekaan bermula dengan perjuangan menentang para penjajah yang dimulai dengan kedatangan Portugis ke tanah air kita pada tahun 1511. Sepanjang berkurun lamanya, umat Islam tidak pernah sekali-kali menyerah kalah kepada penjajah itu.

Lantas, umat ini menempuh perjuangan yang bersulamkan pengorbanan para syuhada’. Perjuangan dan jihad menuntut kemerdekaan telah menelan masa sehingga beratus tahun lamanya.

Penjajah yang datang bukan sahaja menakluk negara kita, malah memperhambakan rakyat, mengangkut hasil mahsul bumi dan merosakkan pemikiran masyarakat.

Oleh itu, kita mesti memahami erti kemerdekaan dari sudut kefahaman yang betul dan gambaran yang besar. Bukannya sekadar memahami kemerdekaan bahawa penjajah sudah pulang ke bumi mereka masing-masing.

Kemerdekaan sebenar ialah perjuangan dalam membebaskan pemikiran umat daripada pengaruh ajaran dan budaya negatif mereka yang merosakkan kita selama ini.

Kita mesti mengambil berat perkara ini supaya kemerdekaan dapat diisi dengan cara yang sebenar dengan acuan Islam. Hal ini penting agar kita menjadi bangsa yang hebat dan berjaya.

Islam membawa mesej kesejahteraan kepada seluruh manusia tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama. Prinsip tiada paksaan dalam beragama dan adil untuk semua menjadi prinsip teras untuk mengisi kemerdekaan dalam kehidupan bermasyarakat madani.

Justeru, atas dasar tersebut kita mesti teguh bersama-sama dalam memperkasakan Islam supaya kelak konsep Islam memimpin benar-benar dapat dicapai. Sekali gus menghasilkan kemerdekaan yang menonjolkan rahmat Islam untuk seluruh masyarakat majmuk di negara tercinta ini.

Ini usaha yang perlu kita semua gerakkan bersama dengan bersungguh-sungguh. Agenda ini sangat besar agar kita dapat menunjukkan kepada dunia bahawa Islam menerima segala yang positif daripada semua bangsa di negara ini untuk membina negara Malaysia yang prihatin, berintegriti dan sejahtera.

Inilah fokus dan cita-cita yang kita ingin capai dalam mengisi kemerdekaan yang dikecapi.

‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid034DY2YCFtZArskL12S5w213NX4JYCXEfjVihELReVKiL3n1gn6ScyWNebsppNneWJl&id=100044222510324