Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.
Alhamdulillah, marilah kita menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan hidayah dan keizinan-Nya jua sekali lagi pada tahun ini kita dapat menyempurnakan ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri yang mulia dalam suasana harmoni dan sejahtera.
Saya selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Sandakan dan seluruh Ahli Jawatankuasa mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1440 Hijriah, maaf zahir dan batin kepada semua masyarakat di Sabah khususnya kawasan Sandakan. Semoga Allah menerima amal kita semuanya.
Di mana sahaja umat Islam berada, pasti akan merasai getaran takbir menyentuh jiwa mengagungkan kebesaran Illahi.
Kemenangan ini bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari di bulan Ramadan, tetapi kemenangan menghalang diri daripada melakukan apa jua perkara yang dilarang.
Kemenangan ini lebih besar ertinya bila kita berjaya melaksanakan perubahan diri ke arah menjadi insan yang berakhlak mulia dan mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi sesuai dengan peranan kita sebagai pembimbing dan menjadi contoh terbaik kepada insan-insan yang kita didik dan latih.
Sesungguhnya peranan setiap daripada kita bukanlah sesuatu yang kecil sebaliknya sebesar-besar tanggungjawab yang perlu kita galas bersama.
Sambil kita bergembira di hari raya, teruskanlah tradisi ziarah-menziarahi yang selama ini menjadi amalan kita.
Runtuhkanlah tembok prasangka dan bukalah seluas-luasnya pintu rumah dan pintu hati kita untuk menerima kunjungan rakan-rakan dari pelbagai latar belakang tanpa mengira umur, pangkat dan kaum.
Ambillah peluang pertemuan di bulan yang penuh barakah ini sebagai medan saling bermaafan antara satu sama lain.
Di Aidilfitri inilah kesempatan terbaik sekali untuk saling melupakan semua perselisihan dan persengketaan seterusnya mengukuhkan kerjasama di antara individu dan bahagian.
Ambillah peluang ini untuk kita saling bermaaf-maafan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin.
Dalam rangka memacu Islam terus maju kehadapan, kita hendaklah memelihara hati agar terus mengasihi sesama Islam dan menjauhkan pergeseran serta perbalahan yang tiada berkesudahan.
Walaupun ada perbezaan pandangan dan prinsip kehidupan, kita perlu cari titik persamaan agar ummah terus gemilang.
Kepada semua warga Sandakan yang akan pulang ke kampung halaman berhari raya, rancanglah perjalanan dengan baik dan pastikan periksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Patuhilah undang-undang lalulintas, pandu dengan cermat dan waspada bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.
Semoga kita semua selamat sampai ke destinasi masing-masing dan selamat kembali ke tempat bertugas.
Bagi mengakhiri ucapan saya, sekali saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Minal Aidin Wal Faizin.
Tulus ikhlas,
SAHAR ABDUL MAJID,
Yang Dipertua PAS Sandakan,
merangkap
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah