Home Kenyataan Media Presiden PAS

Perutusan Aidilfitri Presiden PAS 1442H

253
SHARE

PERUTUSAN AIDILFITRI PRESIDEN PAS 1442H

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama menzahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT atas kurniaan taufiq dan hidayah sebagai hamba-Nya dapat beribadat sepanjang bulan Ramadhan dengan sempurna. Selama sebulan ditarbiah roh, jasad dan akal kita melalui ibadat puasa dan ibadat-ibadat yang lain bagi mengejar martabat taqwa sebagai matlamat utama yang ingin dicapai di penghujung Ramadhan.

Bulan Ramadhan juga menggalakkan kepada umat Islam agar memperbanyak infaq dan sedekah, serta menunaikan kewajipan zakat fitrah bagi membantu mereka yang memerlukan. Ia menjadi jambatan agar umat Islam terus menjalinkan hubungan persaudaraan dan memperkukuh perpaduan antara satu sama lain.

Pada tahun ini, kita menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana penuh kesederhanaan kerana masih lagi belum bebas daripada penularan wabak pandemik Covid-19.

Setiap anggota masyarat tanpa mengira sesiapa pun perlu sentiasa menjaga SOP yang digariskan oleh pihak kerajaan. Kita juga doakan agar Allah SWT memberkati segala usaha barisan hadapan yang bertugas dengan penuh gigih bagi memastikan keselamatan nyawa rakyat dijaga dan dilindungi.

Oleh itu, marilah kita raikan suasana hari raya ini dengan penuh rasa kesyukuran, dengan laungan takbir membesarkan Allah dan memohon doa dengan penuh pengharapan agar Allah SWT segera mengangkat bala dan musibah yang sedang dihadapi ini. Sebagaimana firman Allah SWT:

﴿…وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ١٨٥﴾

“…Dan juga supaya kalian mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kalian membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kalian bersyukur.” (Surah al-Baqarah: 185)

Oleh itu, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya dengan penuh rasa kesyukuran ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, sama ada yang berada di dalam negara mahupun di perantauan.

Mudah-mudahan, kita beroleh ketaqwaan dan terus beristiqamah dalam menjalankan ketaatan kepada Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

تقبل الله منا ومنكم، كل عام وأنتم بخير.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS