Home Artikel PAS Pulau Pinang

Perutusan Aidilfitiri 1439H PAS Kawasan Jelutong

54 views
SHARE

Assalamualaikum wbrt.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

“Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu.” (Surah Al Baqarah : 185)

Alhamdulillah, syukur kita kehadrat Allah yang amat menyantuni kehidupan kita dengan rahmat dan kasih sayangnya yang tiada bernoktah. Perginya Ramadhan bukanlah bermakna berakhir sudah bulan untuk kita terus mendampingi Allah. Malah kehadiran Syawal adalah tanda-tanda betapa hampirnya kita kepada jalan menemui Allah.

Rasulullah saw ketika menyambut Syawal telah membacakan Surah Al-Qaf dalam raka’at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka’at kedua solat Aidilfitri baginda. Adalah satu kehairanan bagi para sahabat baginda dan kita hari ini kerana kedua-dua ayat yang menceritakan tentang peristiwa hari kiamat itu dibacakan pada hari paling gembira buat umat Islam.

Namun disana Rasulullah mahu supaya kita tidak lupa diri dan mengingati bahawa Hari Raya adalah hari yang paling hampir untuk kita menemui Allah. Keriuhan hari raya seharusnya digamatkan dengan takbir dan laungan selawat serta memperatkan ikatan ukhuwah antara semua insan khususnya kalangan umat Islam. Janganlah hari raya digamatkan dengan karaoke, pesta liar dan aktiviti yang tidak bermanfaat untuk jiwa kita khususnya kalangan anak-anak muda.

Peristiwa kiamat dibacakan supaya kita tidak lupa, bahawa ada lagi peristiwa yang lebih besar untuk kita lalui selain hari raya dan Ramadhan. Dengan itu hati-hati kita tidak akan lara untuk menghabiskan percutian raya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

PAS Kawasan Jelutong berharap agar Aidilfitri tahun ini menjadi batu loncatan untuk umat Islam memahami tuntutan sebenar Islam yang bukan sahaja sebagai agama untuk beraya, tetapi ianya harus dilihat dari seluruh ruang lingkup kehidupan.

Jangan kuncikan Islam hanya di Masjid dan Surau, tapi bawalah Islam ke mana sahaja kita berada. Apa jua urusan harian kita tanpa mengira genrenya. Sama ada urusan sosial, kemasyarakatan, ekonomi, peraturan dan perundangan hidup serta politik dalam waktu-waktu seharian haruslah ditegakan atas nama Islam.

Tanpa mengira apa jua warna kulit, asal usul dan bangsa, kita kembali bersama atas nama Islam untuk mengikat kekuatan Ummah ini. Islam yang ada dalam diri kita juga janganlah disimpan untuk kepentingan kita. Kongsikanlah dengan rakan-rakan bukan Islam yang kita kenali supaya mereka lebih memahami.

Galakan mereka menyertai majlis-majlis kita termasuk majlis Ilmu. Galakan mereka menyebut nama Allah sebagai Tuhan yang esa. Galakan mereka mengunjungi rumah ibadah kita semoga dengan itu hatinya akan tertumpah kepada Islam. Berikannya risalah kita termasuk tafsir-tafsir al-Quran untuk mereka memahami ayat-ayat Allah. Hadiahkan mereka pakaian-pakaian umat Islam, supaya mereka merasakan kebersamaan dengan kita dan akhirnya ajaklah mereka untuk bersama berkongsi satu akidah dengan kita.

Ingatlah! setiap umat Islam itu adalah duta penyelamat dan kasih sayang. Tidak mendekat rahmat Allah itu dalam perjuangan kita melainkan jika adanya jambatan Ukhuwah yang kuat diantara hamba-hambanya.

Barisan kepimpinan PAS Kawasan Jelutong mengucapkan Selamat Hari Raya buat seluruh warga Wilayah Persekutuan dan rakyat keseluruhannya. Semoga Hari Raya kali ini memberikan makna dan perubahan besar dalam hidup anda dengan Allah sentiasa di dalam hati.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Yang Benar,
Sarfaraz Ahmad Bin Khalid Maqsood
Ketua Penerangan PAS Kawasan Jelutong