Home Kenyataan Media Presiden PAS

Perutusan Aidiladha Presiden PAS 1441H

740
SHARE


PERUTUSAN AIDILADHA PRESIDEN PAS 1441H

Seluruh umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha bukan sahaja bersempena ibadat haji yang menjadi salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan kepada mereka yang berkuasa dan mampu, bahkan juga bersempena memperingati sunnah Nabi Ibrahim AS yang disambung perjuangannya oleh Nabi Muhammad SAW.

Umat Islam menyembelih binatang ternakan dan melakukan ibadat korban sepertimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Mereka melaksanakan ibadat ini semata-mata kerana Allah SWT.

﴿لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمۡ لِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُحۡسِنِينَ٣٧﴾

“Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalannya.” (Surah al-Hajj: 37)

Allah SWT memerintahkan kita umat Nabi Muhammad SAW mengambil contoh daripada Nabi Ibrahim AS untuk menjadi seorang Islam yang sebenar. Allah menegaskan Islam sahaja agamaNya. Adapun agama dan ajaran yang lain termasuk yang diciptakan oleh akal manusia bukan daripada ajaran Islam.

Marilah kita menyambut Hari Raya Aidiladha dengan semangat Islam yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dan keluarga Baginda AS. Pada masa yang sama, kita tidak melupakan pengorbanan barisan hadapan yang bertugas bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang melakukan ibadat korban kerana negara kita masih lagi terdapat ancaman wabak ini.

Jadikanlah hari raya ini untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengeratkan lagi kasih sayang dan semangat persaudaraan Islam yang membawa berkat kepada kehidupan di dunia dan keselamatan di hari akhirat.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS