PERUTUSAN AIDILADHA DEWAN ULAMAK PAS NEGERI SABAH
Segala puji bagi Allah SWT yang telah mengurniakan nikmat untuk kita terus mengecapi kehidupan pada bulan Zulhijah yang merupakan salah satu dari empat bulan haram dan bulan mengerjakan ibadah Haji.
Hari Arafah pada 9 Zulhijah ialah hari penting lagi bersejarah kerana padanya diturunkan wahyu yang telah menyempurnakan syariat Islam secara keseluruhannya. Sebagaimana firman Allah SWT:
{الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا}
Maksudnya: ”Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku ke atas kamu, dan telah Aku reda Islam itu jadi agama bagi kamu.” [Surah al-Maidah: 3]
Sempena 10 Zulhijah yang dianugerahkan Aidiladha yang akan kita sambut esok, marilah kita mengambil pengajaran melalui ibadah sembelihan haiwan korban. Antara pengajaran besar daripada kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail, adalah ketaatan seorang bapa kepada perintah Allah sehingga mengatasi kecintaan sesama makhluk. Begitu juga kesabaran yang tinggi seorang anak bagi melaksanakan perintah Allah walaupun sukar diterima mengikut emosi seorang manusia. Inilah kemuncak yang ingin dicapai hasil daripada penyertaan ibadah korban iaitu ketakwaan. Ini kerana, yang dipersembahkan kepada Allah adalah ketakwaan kita dan bukannya daging atau darah sembelihan korban.
Firman Allah SWT:
{لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنْكُمْ ۚ …}
Maksudnya: ”Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.” [Surah al-Hajj: 37]
Saya beserta seluruh saf kepimpinan Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah (DUPNS) mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha. Semoga Allah menerima segala amalan kita. Maaf zahir dan batin.
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ
”Ulamak Memimpin Penyelesaian Islam”
USTAZ BABBAR BIN ABAS
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah
9 Zulhijah 1440 / 10 Ogos 2019