Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

PERUTUSAN AIDILADHA 1439H: PENGORBANAN DAN KETAATAN

105 views
SHARE

‎بسم الله الرحمن الرحيم
‎الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, penghulu kepada segala nabi dan rasul yang telah menyempurnakan misi dakwah kepada umat manusia. Alhamdulillah,bersama kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Islam dan Iman hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah.

Citra Aidiladha menyerap inspirasi sirah agung yang dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran mengenai perjuangan Nabi Ibrahim AS dan keluarga baginda dalam memenuhi ketaatan yang diperintahkan oleh Allah SWT.

“Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!”. Ismail menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah bapak akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.” (Surah As-Soffaat:102).

Aidiladha ini semestinya kita mengambil iktibar daripada sifat kecekalan dan keteguhan hati Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S dalam memenuhi perintah Allah.
Semangat inilah yang perlu kita hayati dalam mengharungi sebuah perjuangan.

Allah S.W.T menjadikan sejarah ini berlaku sebagai pedoman dan petunjuk bagi kehidupan pada masa hadapan. Islam mengajar umatnya untuk mengorbankan jiwa dan harta demi untuk menegakkan kalimah Allah S.W.T serta melaksanakan dakwah Islamiah.

Dikesempatan ini, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyeru agar semua umat Islam sama-sama mendoakan agar seluruh jemaah haji dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna dan dikurniakan haji yang mabrur untuk dijadikan bekalan dan inspirasi untuk umat Islam berusaha menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

DMPM juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam. Hidup ini adalah perjuangan. Perjuangan menuntut pengorbanan. Pengorbanan memerlukan ketabahan dan ianya harus bermula dari diri sendiri. Ayuh! Inspirasikan makna korban untuk diri, keluarga, agama, bangsa dan negara. Jadikan ummat Islam umat yang unggul dan julang panji Islam di mata dunia insyaallah.

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 Ogos 2018
8 Zulhijjah 1439H