Home Berita PAS Pahang

Peruntukan Wakil Rakyat, undang-undang baru perlu digubal

131
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 22 Nov: Satu peruntukkan Enakmen atau undang-undang yang tidak boleh dilanggar oleh mana-mana pihak kepada semua Ahli Parlimen (AP) dan Ahli Dewan Negeri (ADN) dicadang untuk digubal di peringkat negeri dan persekutuan.

Begitulah pembentangan kajian dan cadangan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) BERSIH dan IDEAS kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Perikatan Nasional Pahang (PN) di Pejabat PN di sini kelmarin.

BERSIH merupakan badan bebas yang memantau pilihanraya dan tadbir urus awam, manakala IDEAS pula merupakan sebuah institut yang mengkaji dan mengemukakan cadangan berkaitan polisi-polisi awam.

Kedua-dua institusi BERSIH dan IDEAS sedang mengusahakan penggubalan akta yang menyediakan dan mengawal selia peruntukan kewangan kepada setiap AP dan ADN secara wajar dan saksama bagi memastikan perkhidmatan yang baik kepada masyarakat.

“Usul dan cadangan ini adalah untuk memperbaiki sistem demokrasi yang tidak adil di dalam negara.

“Menteri Besar dan Perdana Menteri mempunyai kuasa yang mutlak untuk memberi atau tidak memberi peruntukan kepada Parti Pembangkang, maka berlakulah ketidakadilan”, begitulah kata-kata ADN Beserah Andansura Rabu.

Tambahnya lagi apa yang sedang diusahakan oleh BERSIH dan IDEAS adalah siapa saja yang menjadi kerajaan di masa akan datang akan tertakluk kepada undang-undang yang dicadangkan.

Oleh itu, semua peruntukan pembangunan kawasan samada parlimen atau Dewan Negeri diberikan kepada semua wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat melalui Sistem Demokrasi.

“Oleh Sebab itu kami ADN PN Pahang menyokong penuh dan menyambut baik cadangan mereka ini yang mana sebelum ini telah dibentang dan dikongsikan di Selangor”, kata Andansura yang juga sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.