Home Berita PAS Sabah

Kemeriahan Temasya KESUGA SRITI Sabah Kali ke-2

74
SHARE

Oleh : Aisyah Ramadha Ismail
22 November 2023

KOTA KINABALU : Majlis Kejohanan & Olahraga (KESUGA) kali ke -2 Sekolah Rendah Islam Integrasi Teras Islam (SRITI) Negeri Sabah diadakan di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu pada Ahad lalu.

Seramai 254 peserta atlet dari rangkaian Institusi pendidikan SRITI seluruh Sabah iaitu Putatan, Papar, Kota Belud, Beaufort, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak dan Sandakan mengambil bahagian dalam setiap acara yang dipertandingkan.

Majlis penutupan KESUGA disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, YB Datuk Ir Shahelmy bin Yahya.

Turut hadir, Penasihat SRITI Sabah, Hendri Hamsah, Pengarah SRITI Sabah, Kasman Karate, Penaung SRITI Putatan, Ustaz Muhammad Akmal Othman serta Majlis Guru Besar SRITI Sabah.

Menurut Pengarah Program, Zulzaim Hilmee Abidin, temasya KESUGA kali ini kita anjurkan sebaik mungkin dengan lebih berprestij untuk membuktikan bahawa SRITI Negeri Sabah telah melangkah jauh ke hadapan sebagai institusi pendidikan integrasi rendah berteraskan Islam.

“Selain itu juga, kehadiran Timbalan Ketua Menteri dalam majlis ini menunjukkan bahawa keterbukaan SRITI untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memajukan nilai aspek pendidikan masyarakat Sabah.

“Ia juga lambang pengiktirafan kerajaan negeri terhadap SRITI sebagai suatu institusi yang penting dalam masyarakat,” katanya semasa majlis penutupan.

Sebanyak empat acara utama dipertandingkan iaitu acara balapan, bola sepak, bola jaring dan memanah yang mana acara ini merupakan julung kali diadakan.

SRITI Al-Falah Kunak telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan, diikuti Naib Johan iaitu SRITI An-Nawawi Papar dan tempat ketiga iaitu SRITI Al-Makwa Kota Belud.

 

Pemain terbaik kategori bola sepak pula dimenangi oleh Muhammad Harraz Aniq Asyraaf Mohd Azlan (SRITI Al-Falah Kunak) dan kategori bola jaring dinobatkan kepada Nur Irdhina Hani Ramli (SRITI Al-Falah Kunak).

Bagi anugerah olahragawan terbaik, disandang oleh Daeng Zhurhamizan Zahari (SRITI Al-Falah Kunak) manakala olahragawati pula Sarah Nafisah Mohd Adzri (SRITI Al-Makwa Kota Belud).