Home Berita PAS Wilayah

Perumahan Rakyat Dalam Bajet 2020

804
SHARE

KENYATAAN MEDIA

PAS Wilayah Persekutuan

PERUMAHAN RAKYAT DALAM BAJET 2020

 Pembentangan Bajet 2020 menyentuh lambakan rumah yang bernilai billion ringgit. Kerajaan dengan secara mudah mengambil pendekatan mencadangkan penurunan harga rumah yang boleh dibeli oleh warga asing daripada RM1juta kepada RM600,000.

Yang lebih mengejutkan adalah kenyataan Menteri Perumahan YB Zuraidah Kamaruddin yang mengatakan bahawa cadangan tersebut bukan dicadangkan oleh kementeriannya. Ia adalah cadangan Kementerian Kewangan.

Peraturan penurunan had ini adalah polisi yang amat penting yang melibatkan sektor perumahan dan akan memberikan kesan secara terus kepada masyarakat umum. Ia sepatutnya diputuskan oleh Kementerian Perumahan yang lebih arif tentangnya, bukan Kementerian Kewangan.

Jalan penyelesaian ini sebenarnya lebih membantu pemaju dengan melonggarkan syarat dan sekaligus membantu golongan pedagang membuat keuntungan berganda, termasuk juga warga asing dengan menggalakkan mereka membeli lambakan rumah dengan harga yang lebih murah.

Ia akan menyelamatkan pemaju, yang sebelum ini para ahli ekonomi dan pakar kajian hartanah telah memberi amaran supaya mereka jangan terus membina rumah mewah yang akan mengakibatkan lambakan. Malangnya mereka terus membina rumah mewah untuk mengaut keuntungan yang lebih.

Seperti kebiasaannya, pemaju sudah tentu telah membuat kajian sebelum memulakan projek perumahan. Ia merupakan keputusan perniagaan yang pastinya mempunyai risikonya tersendiri.

Adalah amat tidak wajar kerajaan membantu pemaju apabila mereka gagal menjualnya. Kerajaan sepatutnya lebih menumpukan kepada usaha-usaha membantu rakyat terutamanya golongan B40 untuk memiliki rumah.

Jelas kelihatan dalam pembentangan Bajet 2020, kerajaan telah membenarkan lebih ramai orang asing untuk memiliki rumah. Seolah-olah kerajaan lebih mesra kepada pemaju yang tamak berbanding menjaga kebajikan rakyat. Kerajaan tidak bersedia mengajar pemaju agar jangan memikirkan keuntungan maksimum lagi di masa hadapan.

Cuba kita bayangkan harga minima RM600,000 itu matawang asing. Ia hanya sekitar SGD197,000 bagi warga Singapura dan HKD1,125,000 bagi warga Hong Kong. Ia belum lagi dilihat dari segi pendapatan median isi rumah berbanding dengan pendapatan bulanan bagi memperolehi rumah berharga RM600,000 ini. Di Malaysia, pendapatan isi rumah median M40 RM6,275 memerlukan masa 96 bulan untuk memilikinya berbanding hanya 21 bulan di Singapura dan 40 bulan di Hong Kong.

Secara tidak langsung, rumah yang berharga di bawah RM600,000 akan semakin berkurang ditawarkan di masa hadapan. Sudah pasti, pemaju memilih untuk membina rumah yang berharga RM600,000 ke atas.

Orang muda sebenarnya amat terkesan dengan keputusan kerajaan ini selain daripada mereka yang belum lagi mempunyai rumah. Harga rumah sudah hampir pasti akan meningkat berkali ganda disebabkan pertambahan permintaan warga asing untuk memilikinya.

Sebenarnya kerajaan boleh menggesa para pemaju untuk menurunkan semua harga rumah seminimum mungkin. Ia dengan sendirinya memungkinkan mereka menjual hartanah lebih segera bagi mendapatkan kembali modal pusingan.

Langkah ini bukan sahaja dapat menyelamatkan pemaju, tetapi dalam masa yang sama dapat membantu rakyat memiliki rumah. Secara tak langsung, ia akan menjadi pengajaran kepada pemaju yang selama ini hanya mementingkan keuntungan maksimum semata-mata.

Islam Memimpin Perpaduan

KAMISAN SUJA’

Timbalan Pesuruhjaya I PAS Wilayah Persekutuan

merangkap

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan

dan Hal Ehwal Orang Asal, PAS Wilayah Persekutuan

 

Tarikh:

Rabu, 17 Safar 1441H | 16 Oktober 2019