Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Belanjawan 2020: Apa Manfaat untuk Keluarga?

152 views
SHARE

Belanjawan 2020: Apa Manfaat untuk Keluarga?

Muslimat PAS menyambut baik cadangan untuk mengukuhkan institusi keluarga dan masyarakat yang dikemukakan melalui Belanjawan 2020. Namun begitu, kerajaan dilihat belum mempunyai pendirian yang jelas tentang dasar tersebut secara komprehensif. Perancangan pembangunan keluarga yang dicadangkan itu ibarat labah-labah membina sarangnya, terkena sentuhan akan rosak dan sang labah-labah tidak lagi selamat.

Dalam hal ini Muslimat PAS ingin mengutarakan beberapa pandangan dan persoalan. Antaranya ialah:

1️⃣Pertama, Muslimat PAS gembira dengan keterbukaan Kerajaan untuk menambah tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari yang akan bermula pada tahun 2021. Pujian wajar diberikan kepada kerajaan PAS Kelantan yang telah lama melaksanakan dan membaikinya dari semasa ke semasa. Dalam Bajet 2020,Muslimat PAS melihat kurangnya insentif kepada wanita yang bekerja di dalam kategori jawatan bukan profesional. Apakah insentif kerajaan untuk menilai semula waktu kerja flexi yang telah pun dilaksanakan awal tahun ini agar ia lebih mesra kepada wanita yang bekeluarga. Perkara ini penting bagi mengimbangi peranan wanita bekeluarga dengan tanggungjawabnya sebagai pendidik di rumah.

2️⃣Kedua, bagaimana pula kesaksamaan gaji dan peluang untuk lebih ramai graduan wanita diterima bekerja di sektor swasta dan kerajaan tanpa wujud diskriminasi? Muslimat PAS mengharapkan cadangan Kerajaan untuk mengkaji semula Akta Kerja 1955 dan mengharapkan pindaan yang adil buat semua wanita. Sehingga kini tiada usaha yang bersungguh dari pihak kerajaan untuk mewujudkan pusat latihan pengurus rumahtangga yang bertauliah bagi rakyat tempatan bagi menangani masalah pembantu rumah asing. Selain peruntukan tambahan untuk taska yang telah diumumkan, adakah kerajaan bercadang untuk memberi pelepasan cukai juga kepada pasangan yang menggunakan khidmat pembantu rumah?

3️⃣Ketiga, Muslimat PAS ingin tahu adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk memperluaskan skim perlindungan kesihatan kepada golongan M40 yang tinggal di kawasan bandar yang menanggung kos sara hidup yang tinggi? Apakah pula usaha kerajaan untuk memperhebat usaha menangani masalah kesihatan mental yang meningkat dalam kalangan masyarakat?

4️⃣Keempat, Muslimat PAS juga mempunyai harapan yang tinggi agar peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Pendidikan benar-benar dapat digunakan untuk memperkasakan peranan guru dan sistem pendidikan di sekolah. Negara pernah dikejutkan dengan senarai 402 sekolah yang dikategorikan bermasalah pada tahun 2017, apakah status sekolah itu hari ini? Apakah program-program yang akan diwujudkan menggunakan peruntukan tersebut untuk mengatasi masalah remaja keciciran di luar bandar? Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran sama ada di sekolah bantuan kerajaan mahupun swasta, sejauh manakah kerajaan berhasrat menambahbaik kaedah pengesanan masalah dan pelaksanaan serta keberkesanan program-program intervensi bagi kanak-kanak istimewa, terutamanya di sekolah-sekolah luar bandar?

5️⃣Kelima, Muslimat PAS ingin mempersoalkan berkenaan infrastruktur digital. Di sebalik keghairahan kepesatan pembangunannya, Muslimat PAS ingin tahu apakah usaha-usaha kerajaan dalam memastikan kandungan yang positif sahaja yang sampai kepada pengguna digital, khususnya kepada golongan muda? Adakah di dalam perancangan kerajaan untuk mempertingkatkan usaha menapis laman-laman web, browser dan portal yang dikategorikan sebagai tidak sopan, lucah dan tidak membangun akal dan jiwa rakyat Malaysia? Dari segi ’value for money’ pula, sejauh manakah pemantauan akan dilakukan bagi memastikan peruntukan fasiliti digital yang diberi kepada sekolah tidak disalahgunakan atau kurang dimanfaatkan sebagaimana yang sepatutnya?

6️⃣Keenam, Muslimat PAS menyedari bahawa kes-kes yang di bawa ke Mahkamah Syariah semakin meningkat. Oleh itu, peruntukan yang akan disediakan ke arah meningkatkan kecekapan dan keberkesanan institusi Mahkamah Syariah setaraf Mahkamah Sivil haruslah diberikan secukupnya. Seiring dengan pembangunan Mahkamah Syariah, status pelaksanaan dan peruntukan dalam melaksanakan Akta Guaman Syarie yang baru sahaja diluluskan hendaklah diperjelas. Dari aspek kecekapan sistem maklumat bagi perkara-perkara di bawah tanggungjawab institusi agama, kecekapan pelaksanaan sistem terkini dalam mendepani arus perdana yang sangat pantas, contohnya untuk mengenalpasti status perkahwinan bakal suami atau isteri sebelum majlis akad haruslah diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

7️⃣Ketujuh, Muslimat PAS komited dengan dasar memperkasa warga Orang Kelainan Upaya (OKU). Di bawah dasar ini setiap seorang daripada 6 orang penduduk adalah OKU. Dalam hal ini, Muslimat PAS berterima kasih kepada Kerajaan kerana memperuntukkan RM23 juta bagi memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra OKU. Walau bagaimanapun, diharapkan pelaksanaannya dilakukan mengikut keutamaan dan secara berfasa sehinggalah semua sekolah dapat dinaiktaraf kemudahannya. Selain keperluan berbentuk fizikal, perancangan kerajaan untuk mengurangkan diskriminasi terhadap akses pendidikan agama dan kerohanian kepada golongan OKU, dan mengarusperdanakannya agar golongan OKU lebih menyeluruh pembangunan insaniah dan kehidupannya perlu dibuat dengan teliti dan berkesan.

Konsep Wanita Sejahtera yang dibawa oleh Muslimat PAS merangkumi tiga perkara iaitu; kedalaman ilmu pengetahuan, minda bermuhasabah dan aktif bermasyarakat. Tanggungjawab hakiki suami sebagai ketua keluarga dan penjaga yang menyediakan nafkah mesti dibangunkan dengan lebih hebat lagi, seiring tanggungjawab isteri di dalam memberikan layanan kepada suami dan anak-anak. Berkaitan ini misalnya, Kerajaan Negeri Kelantan sedang merangka Dasar Qawwam demi memperkasakan tugas hakiki seorang lelaki.

Oleh yang demikian, ke arah mengembalikan semula masyarakat mengikut acuan kesejahteraan paling tinggi melalui Islam, Muslimat PAS termasuk Kerajaan Negeri PAS di Kelantan dan Terengganu sudi bertemu mata dan saling bertukar input dan cadangan dalam memenuhi objektif pengukuhan institusi keluarga dan masyarakat kepada Kerajaan.

Muslimat PAS sangat prihatin dengan harapan agar institusi keluarga ini dapat segera dibantu dan diselamatkan daripada terus runtuh dan akhirnya menghilangkan identiti sebuah masyarakat majmuk tanah air yang pernah utuh sejarah dan ketamadunannya.

“Islam Memimpin”

“ Islam Memimpin Wanita Sejahtera”

Yb Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh

Ketua

Dewan Muslimat PAS Malaysia

18 Safar 1441  bersamaan 17 Oktober 2019