7 Ramadhan 1440H | 12 Mei 2019 | Ahad
Oleh: Nabihah Fauzi
Kepala Batas: Buat julung kalinya pada sesi kepimpinan baharu, sesi 19/21 ini, Ameerah Negeri Pulau Pinang mengadakan Pertemuan Mahabbah bersama beberapa pimpinan dari Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang (DMPNPP) di Markas Tarbiah PAS, Pongsu Seribu kelmarin.
Pertemuan tersebut bertujuan untuk saling bertaaruf dan memperkenalkan saf pimpinan baharu Ameerah Negeri Pulau Pinang kepada DMPNPP yang dihadiri oleh Ketua Muslimat DMPNPP, Ustazah Hasanah Idris, Naib Ketua Muslimat, Saudari Siti Mastura Muhamad, Setiausahanya, Puan Mazlina Jamaluddin dan juga Ketua Penerangan DMPNPP, Puan Farhiyah bt Shafiee.
Dalam pertemuan tersebut, Ustazah Hasanah turut menyelitkan beberapa butir nasihat buat pimpinan baharu Ameerah yang diketuai oleh Puan Aisyah Abdul Wahab serta turut dihadiri oleh ketua-ketua Ameerah Kawasan seluruh Pulau Pinang. Beliau menitipkan bahawa setiap pimpinan harus mengamalkan konsep taaruf, taawun dan takaful agar setiap gerak kerja dapat dilakukan secara konsisten dan amal jamaie yang utuh.
Selain itu, beliau juga turut meninggalkan satu pesanan yang amat bermakna, iaitu Ameerah merupakan salah satu entiti terpenting di bawah Dewan Muslimat PAS yang perlu memainkan peranan dalam membawa politik berasaskan Islam supaya masyarakat terutamanya golongan wanita muda semakin dekat pada PAS umumnya dan kepada tatacara hidup Islam khususnya.
Pertemuan ini diharapnya dapat terus menjalinkan kerjasama yang utuh antara Ameerah dan juga DMPNPP.