Home Berita PAS Terengganu

Pertembungan aqidah dan ideologi kebendaan

87
SHARE

Firman Allah SWT:
﴿وَقَالُواْ لَن نُّؤۡمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفۡجُرَ لَنَا مِنَ ٱلۡأَرۡضِ يَنۢبُوعًا٩٠ أَوۡ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٞ مِّن نَّخِيلٖ وَعِنَبٖ فَتُفَجِّرَ ٱلۡأَنۡهَٰرَ خِلَٰلَهَا تَفۡجِيرًا٩١ أَوۡ تُسۡقِطَ ٱلسَّمَآءَ كَمَا زَعَمۡتَ عَلَيۡنَا كِسَفًا أَوۡ تَأۡتِيَ بِٱللَّهِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ قَبِيلًا٩٢ أَوۡ يَكُونَ لَكَ بَيۡتٞ مِّن زُخۡرُفٍ أَوۡ تَرۡقَىٰ فِي ٱلسَّمَآءِ وَلَن نُّؤۡمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيۡنَا كِتَٰبٗا نَّقۡرَؤُهُۥۗ قُلۡ سُبۡحَانَ رَبِّي هَلۡ كُنتُ إِلَّا بَشَرٗا رَّسُولٗا٩٣﴾

“Dan mereka berkata, ‘Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu (wahai Muhammad) hingga kamu memancarkan mata air dari bumi untuk kami. (90) Atau (sehingga) kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya. (91) Atau (sehingga) kamu gugurkan langit berkeping-keping ke atas kami sebagaimana kamu katakan, atau kamu katakan (akan berlaku). Atau (sehingga) kamu datangkan Allah dan para malaikat bersemuka dengan kami. (92) Atau (sehingga) kamu mempunyai sebuah rumah daripada emas, atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan ke atas kami sebuah kitab untuk kami baca.’ Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?’ (93)” (Surah al-Isra’: 90–93)

Demikianlah Allah SWT membawa cerita benar berlakunya pertembungan terhadap perjuangan Islam yang berusaha meletakkan Islam yang sempurna sebagai keutamaan melalui pendekatan menyelamatkan umat berasaskan kepercayaan kepada Allah yang Maha Esa. Adapun lawannya yang menentang pula membawa isu air, makanan, dan rumah kediaman menandakan kemewahan. Di samping itu, mereka mencabar untuk membuktikan kebenaran agama dengan mencabar Allah supaya menunjukkan diri-Nya bersama para malaikat yang ghaib, ataupun menurunkan perkara luar biasa seperti bencana kepada sesiapa yang menolak Islam.

Jawapan yang disebutkan Rasulullah SAW bukan bermakna apabila mengutamakan aqidah Islam, maka kita tidak perlu mengambil peduli kepada keperluan makanan dan tempat kediaman. Hal ini disebabkan, keperluan kebendaan ialah kebiasaan fitrah yang difahami oleh semua makhluk yang berjasad, termasuk binatang yang tidak berakal yang tetap berusaha secara tabii untuk mencari keperluan itu dengan kurniaan Allah SWT juga. Di sini bermakna, mencari keperluan kebendaan itu adalah difahami secara nyata, termasuk oleh kalangan yang tidak berakal.

Jika ditunjukkan perkara yang ghaib kepada mereka yang menentang Islam itu, maka mereka tetap akan menolak juga, malah menuduh itu adalah perbuatan sihir pula. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
﴿وَلَوۡ فَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَابٗا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ فَظَلُّواْ فِيهِ يَعۡرُجُونَ١٤ لَقَالُوٓاْ إِنَّمَا سُكِّرَتۡ أَبۡصَٰرُنَا بَلۡ نَحۡنُ قَوۡمٞ مَّسۡحُورُونَ١٥﴾

“Dan seandainya Kami bukakan kepada mereka salah satu daripada (pintu-pintu) langit, lalu mereka terus-menerus naik ke atas melaluinya (pada siang hari yang membolehkan mereka menyaksikan segala kenyataan yang ada). (14) Tentulah mereka akan (mengingkari kenyataan yang benar itu dengan) berkata, ‘Sesungguhnya, penglihatan kami dikaburkan, bahkan kami ialah kaum yang telah disihir.’ (15)” (Surah al-Hijr: 14–15)
Allah SWT membawa cerita kaum Bani Isra’il (bangsa Yahudi) yang tidak beriman, walaupun Allah telah menyelamatkan mereka secara mukjizat. Firman Allah SWT:
﴿وَإِذۡ قُلۡتُمۡ يَٰمُوسَىٰ لَن نُّؤۡمِنَ لَكَ حَتَّىٰ نَرَى ٱللَّهَ جَهۡرَةٗ فَأَخَذَتۡكُمُ ٱلصَّٰعِقَةُ وَأَنتُمۡ تَنظُرُونَ٥٥﴾

“Dan (ingatlah) ketika kamu berkata, ‘Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan nyata!’ Maka, kerana itu, kamu disambar petir dalam keadaan sendiri menyaksikannya.” (Surah al-Baqarah: 55)
Selain itu, Allah SWT juga menyebutkan secara terperinci keperluan penduduk Makkah yang berada di tengah-tengah padang pasir yang tiada kemudahan kebendaan.

Firman Allah SWT:
﴿لِإِيلَٰفِ قُرَيۡشٍ١ إِۦلَٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ٢ فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَٰذَا ٱلۡبَيۡتِ٣ ٱلَّذِيٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٖ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۢ٤﴾
“(Kerana) kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah). (1) (Iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam). (2) Maka, hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah ini (Kaabah). (3) Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka daripada kelaparan dan mengamankan mereka daripada ketakutan. (4)” (Surah Quraisy: 1–4)
Malah, disebutkan bahawa semua keperluan itu dikurniakan Allah SWT, maka utamakanlah ibadat kepada Allah sahaja. Adapun keperluan kebendaan hendaklah diusahakan dan dilakukan secara tabii kerana Allah juga yang memberikannya.

Akan tetapi, pergantungan yang penting iaitu beribadat kepada Allah SWT perlu diutamakan dan memerlukan penjelasan yang gigih. Hal ini demikian kerana, aqidah kepercayaan itu sukar difahami walaupun ia merupakan perkara yang paling penting bagi wawasan dunia hingga akhirat. Adapun keperluan kepada kemudahan hidup sudah difahami secara automatik, termasuk oleh binatang yang tidak berakal.

Ada dalam kalangan penduduk Makkah yang percaya kepada kebenaran Nabi Muhammad SAW, tetapi mereka dihalang oleh kebimbangan tidak selamat jasad mereka kerana akan dipulaukan dari sudut ekonomi dan diserang oleh musuh. Allah SWT berfirman melaporkan ucapan mereka berserta jawapan-Nya:
﴿وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٥٧﴾

“Dan mereka (yang kafir) berkata, ‘Jika kami mengikut hidayah petunjuk bersama-sama kamu, nescaya kami dengan serta-merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang).’ Mengapakah mereka berkata demikian? Bukankah Kami telah melindungi mereka dan menjadikan (Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang didatangkan ke tempat itu segala jenis hasil tanaman sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, kamu telah menjadikan semua itu) tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).” (Surah al-Qasas: 57)

Allah SWT memberikan jaminan hidup yang senang, bermoral, dan membawa keberkatan (kesenangan dunia dan akhirat) apabila manusia itu bertaqwa. Allah SWT berjanji dan memberikan amaran:
﴿وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَيَٰتٗا وَهُمۡ نَآئِمُونَ٩٧ أَوَ أَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا ضُحٗى وَهُمۡ يَلۡعَبُونَ٩٨ أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ٩٩﴾
“Dan (Allah berfirman lagi), ‘Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, pastilah Kami akan membuka (pintu pengurniaan) untuk mereka yang melimpah-ruah keberkatannya dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan perbuatan mereka.’ (96) Patutkah penduduk negeri itu (bersenang hati) serta berasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari ketika mereka sedang tidur? (97) Atau patutkah penduduk negeri itu (bersenang hati) serta berasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari ketika mereka sedang leka bermain-main? (98) Patutkah mereka (bersuka ria) sehingga mereka berasa aman daripada rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Sebenarnya, tidak ada yang berasa aman daripada rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang yang rugi. (99)” (Surah al-A‘raf: 96–99)

Firman Allah SWT lagi:
﴿قُلۡ أَرَءَيۡتُمۡ إِنۡ أَصۡبَحَ مَآؤُكُمۡ غَوۡرٗا فَمَن يَأۡتِيكُم بِمَآءٖ مَّعِينِۢ٣٠﴾
“Katakanlah lagi, ‘Bagaimanakah fikiran kamu jika sumber air kamu menjadi kering (ditelan bumi); maka siapakah (selain Allah) yang akan memberi kamu air yang sentiasa mengalir?’” (Surah al-Mulk: 30)

Jawapannya, sudah tentulah Allah! Mereka yang menjawab “Allah” itu termasuk daripada kalangan bukan Islam, tetapi tidak menepati maksud perkataan Allah kerana mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
﴿وَلَئِن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُۚ قُلِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِۚ بَلۡ أَكۡثَرُهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٢٥﴾

“Dan sesungguhnya, jika kamu (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang Musyrik) itu, ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?’ Tentu mereka akan menjawab, ‘Allah.’ Ucapkanlah (wahai Muhammad), ‘Alhamdulillah’ (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang sedemikian tidak mengingkari Allah). Bahkan, kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).” (Surah Luqman: 25)

Maka, tumpuannya ialah kepercayaan kepada Allah SWT kerana keperluan kebendaan boleh difahami secara mudah tanpa memerlukan panduan akal.
Allah telah menetapkan peruntukan kewangan (harta) kepada Rasulullah SAW dan keluarganya daripada ghanimah (rampasan perang) dan fai’ (harta rampasan tanpa peperangan), di samping sedekah dan wakaf. Rasulullah SAW mengharamkan dirinya dan keluarganya menerima zakat kerana sudah ada peruntukan yang lain. Firman Allah SWT:
﴿وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا غَنِمۡتُم مِّن شَيۡءٖ فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُۥ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ إِن كُنتُمۡ ءَامَنتُم بِٱللَّهِ وَمَآ أَنزَلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا يَوۡمَ ٱلۡفُرۡقَانِ يَوۡمَ ٱلۡتَقَى ٱلۡجَمۡعَانِۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٤١﴾
“Dan ketahuilah, apa-apa sahaja yang kamu peroleh sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima daripadanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, Rasul-Nya, kerabat (Rasulullah), anak-anak yatim, orang miskin, dan ibnu al-sabil (musafir yang terputus perbelanjaan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa-apa yang telah Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) pada Hari al-Furqan, iaitu pada hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir di medan Perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.” (Surah al-Anfal: 41)

Firman Allah SWT juga:
﴿مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٧﴾
“Apa-apa sahaja yang dikurniakan Allah kepada Rasul-Nya daripada harta penduduk negeri, tanpa berperang adalah untuk Allah, untuk Rasul, kerabat (Rasul), anak yatim, orang miskin, dan untuk orang yang dalam perjalanan (yang terputus bekalan). (Ketetapan yang demikian) adalah supaya harta itu tidak hanya beredar antara orang kaya sahaja dalam kalangan kamu. Dan apa-apa yang diperintahkan Rasul kepada kamu, maka terimalah. Dan apa-apa yang dilarangnya, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah sangat keras hukumannya (bagi orang yang melanggar perintahnya).” (Surah al-Hashr: 7)
Rasulullah SAW mengambil sebanyak khumus (20%) daripada ghanimah dan fai’ bagi dirinya serta keluarganya, selain pengagihan daripada dirinya sendiri kepada yang memerlukan secara langsung.

Sumber kewangan negara Islam ditetapkan daripada zakat sebagai ibadat harta yang diwajibkan kepada penganut Islam sahaja. Adapun kepada rakyat bukan Islam, mereka ditetapkan bayaran jizyah (cukai keselamatan) dan kharaj (cukai hasil pertanian).

Di sana, ada lagi sumber seperti wakaf dan rikaz (harta atau barang terpendam di dalam bumi) yang diambil sebanyak khumus (20%), manakala kharaj dan ‘usyur pula adalah sebanyak 10 peratus daripada perniagaan bukan Islam. Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz pula menetapkan khumus (20%) daripada hasil laut.
Maka, janganlah jahil terhadap Islam seperti orang jahiliah yang mempersendakan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT bagi menjawabnya:
﴿وَمَآ أَرۡسَلۡنَا قَبۡلَكَ مِنَ ٱلۡمُرۡسَلِينَ إِلَّآ إِنَّهُمۡ لَيَأۡكُلُونَ ٱلطَّعَامَ وَيَمۡشُونَ فِي ٱلۡأَسۡوَاقِۗ وَجَعَلۡنَا بَعۡضَكُمۡ لِبَعۡضٖ فِتۡنَةً أَتَصۡبِرُونَۗ وَكَانَ رَبُّكَ بَصِيرٗا٢٠﴾
“Dan Kami tidak mengutus para rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan mereka pasti memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Dan kami jadikan sebahagian kamu cubaan bagi sebahagian yang lain. Mahukah kamu bersabar? Dan Tuhanmu Maha Melihat (keadaan sekalian makhluk-Nya).” (Surah al-Furqan: 20)
Maka, janganlah juga berlagak tidak mahu menerima gaji atau peruntukan diri dengan berlakon lebih daripada Nabi SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin, namun di belakangnya menerima rasuah dan pelbagai lagi sogokan haram yang melampau.

Keseluruhan pengamat politik lawan PAS, termasuk para ilmuwan mereka yang memindahkan otak dari kepala dibawa ke dalam perut mereka, meremehkan perjuangan PAS dalam menegakkan Islam, seolah-olahnya tanpa peduli akan masalah keperluan kehidupan rakyat di negeri yang diperintah oleh PAS seperti air, barangan keperluan, rumah kediaman, dan lain-lain. Satu anggapan yang tidak matang berpolitik secara tabii.

Tanpa mengambil kira bahawa kerajaan PAS juga gigih berusaha secara politik menurut tabii manusia yang wajib mengurus keperluan kehidupan rakyat. Akan tetapi, PAS menghadapi banyak sekatan oleh kerajaan pusat, bermula dengan Kelantan sejak zaman Perdana Menteri sekarang menjadi Menteri Kewangan sehingga kini. Urusan kewangan yang wajib mengikut perlembagaan, perjanjian, dan prinsip demokrasi tidak dihormati.

Royalti petroleum tidak dinafikan kepada Sarawak dan Sabah, tetapi dinafikan kepada negeri yang diperintah oleh PAS. Adakah kerana prinsip Islam yang dipegang oleh PAS? Kini, penafian hak ini diikuti pula oleh negeri Terengganu, Kedah, dan Perlis yang dilengah-lengahkan dengan berbagai-bagai dalih bukannya dalil.

PAS dapat membuktikan prinsip integriti dan tadbir urus yang beramanah walaupun dengan sumber kewangan yang terhad. Sila lihat bahawa UMNO-BN yang kini bersama DAP pernah memerintah Kelantan pada tahun 1978–1990 dahulu, pada masa mereka bersama kerajaan pusat. UMNO-BN juga lebih lama di Terengganu dan Kedah pada masa semuanya memiliki kemudahan kewangan.

Mengapa masalah itu tidak diselesaikan dan terus berkekalan? Apabila PAS mengambil alih pentadbiran, PAS diperlakukan dengan begitu banyak sekatan atau birokrasi dilengah-lengahkan. Mereka tidak pula melakukan sedemikian kepada Singapura ketika berada dalam Malaysia dahulu dan terkini kepada Pulau Pinang.
PAS tidak lupa, kerana kami bukan Melayu yang mudah lupa, apabila PAS mula bertindak pada tahun 1990 dengan membatalkan premis perjudian dan penjualan arak dibenarkan kepada orang bukan Islam sahaja. Dalam keadaan lesennya di bawah Kementerian Kewangan yang menterinya ialah Perdana Menteri terkini yang berslogankan madani, tetapi beliau tidak membantu dan tidak bertindak sama mengikut Islam.

DAP pula lantang menentang PAS, walaupun langkah dan tindakan yang dilakukan oleh PAS berkait dengan penganut Islam sahaja tanpa gangguan terhadap orang bukan Islam.

Begitu pula apabila PAS berta‘awun dengan UMNO mencadangkan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 bagi meminda hukuman sebatan kepada hukum Islam yang mendidik, bukan sebatan yang menyeksa mengikut undang-undang Barat. Tiba-tiba, usaha ini mendapat tentangan daripada sebahagian UMNO, DAP, dan rakan-rakannya daripada PKR, PAN, dan lain-lain. Maka, sangat wajar jika UMNO kini bersekongkol dengan DAP membelakangi prinsip perjuangannya.

PAS terus teguh beristiqamah membawa mesej Islam dan menyedari wajib menunaikan kewajipan terhadap segala pembangunan kebendaan tanpa perlu sibuk mengumumkannya. Hal ini demikian kerana, sememangnya pembangunan kebendaan itu ialah perkara tabii yang wajib ditunaikan sekiranya mempunyai sumber kewangan yang mencukupi. Maka, sangat bodoh bagi seorang suami atau ketua keluarga menguar-uarkan kepada orang ramai, bahawa dia sangat baik kerana sentiasa memberikan nafkah kepada keluarganya.

Rasulullah SAW bersabda kepada ‘Adiy bin Hatim, seorang paderi yang datang berjumpa Baginda:
أَمَا إِنِّي أَعْلَمُ الَّذِي يَمْنَعُكَ مِنَ الْإِسْلَامِ؛ تَقُولُ: إِنَّمَا اتَّبَعَهُ ضَعَفَةُ النَّاسِ وَمَنْ لَا قُوَّةَ لَهُ، وَقَدْ رَمَتْهُمُ الْعَرَبُ.
“Sesungguhnya, aku mengetahui wahai ‘Adiy mengapa kamu takut bersama Islam, kerana kamu melihat Islam ini diikuti oleh orang yang lemah (miskin) dan mereka yang tidak mempunyai kekuatan serta mereka itu dicaci oleh orang-orang Arab.”

Rasulullah SAW kemudian bertanya:
“أَتَعْرِفُ الْحِيرَةَ؟”
“Wahai ‘Adiy! Adakah kamu mengetahui bandar yang bernama Hirah (pusat pentadbiran kuasa besar Empayar Parsi)?”
‘Adiy bin Hatim menjawab:
لَمْ أَرَهَا وَقَدْ سَمِعْتُ بِهَا.
“Aku tidak pernah melihatnya (tidak pernah ke sana), tetapi aku pernah mendengar (mengetahui) tentangnya.”
Rasulullah SAW pun bersabda:
فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَيُتِمَّنَّ اللَّهُ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى تَخْرُجَ الظَّعِينَةُ مِنَ الْحِيرَةِ حَتَّى تَطُوفَ بِالْبَيْتِ فِي غَيْرِ جِوَارِ أَحَدٍ، وَلَيَفْتَحَنَّ كُنُوزَ كِسْرَى بْنِ هُرْمُزَ.
“Maka, demi diriku yang berada dalam genggaman tangan-Nya! Percayalah, Allah akan menyempurnakan urusan agama ini (Islam akan memerintah dan berlaku keamanan) sehingga kaum wanita keluar bersendirian dari Hirah (di Iraq) lalu bertawaf di Baitullah (menuju ke Makkah dan menunaikan haji) tanpa takut akan sebarang gangguan. Mahligai Kisra bin Hurmuz (Khosrow II, Maharaja Empayar Parsi) juga akan dibuka.”
‘Adiy bin Hatim bertanya seakan-akan tidak percaya:
كِسْرَى بْنَ هُرْمُزَ؟
“Kisra bin Hurmuz?!”
Rasulullah SAW menegaskan:
نَعَمْ، كِسْرَى بْنَ هُرْمُزَ وَلَيُبْذَلَنَّ الْمَالُ حَتَّى لَا يَقْبَلَهُ أَحَدٌ.
“Benar, Kisra bin Hurmuz. Harta pun akan melimpah-ruah sehingga tiada sesiapa lagi yang menerima bantuan harta (kerana semuanya sudah mencukupi).” (Riwayat Ahmad dalam Musnadnya, No. 18260 dan Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 7, Hlm. 296)

‘Adiy bin Hatim RA terus memeluk Islam dan berkata bahawa semua perkara yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW pasti akan berlaku.
Sebenarnya, ia juga termasuk janji Allah SWT melalui firman-Nya:
﴿وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ٥٥﴾
“Allah telah menjanjikan kepada orang yang beriman dan yang melakukan amal soleh dalam kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka berkuasa. Dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka dengan agama (Islam) yang telah diredai-Nya. Dan Dia benar-benar mengubah (keadaan) mereka, setelah berada dalam ketakutan (daripada ancaman musuh) menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu pun. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasiq.” (Surah al-Nur: 55)

Janganlah takut kepada ‘Gelombang Hijau’ yang bersifat menyelamat, bukan berpunca daripada sifat khianat dan dendam. Janganlah berfahaman salah dan bodoh; seolah-olah apabila Islam mentadbir, maka hilanglah segala jalan raya, elektrik, air, dan perumahan kerana menganggap Islam itu semata-mata menyentuh hal akhirat sahaja.

Ambillah pengajaran daripada tempelak Allah terhadap kaum Yahudi yang paling mabuk kebendaan mereka dan melahirkan pencipta ideologi, antaranya Adam Smith, tokoh pencipta liberal kapitalis dan Karl Marx, pencipta sosialis yang paling ekstrem. Firman Allah SWT:
﴿وَلَوۡ أَنَّهُمۡ أَقَامُواْ ٱلتَّوۡرَىٰةَ وَٱلۡإِنجِيلَ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيۡهِم مِّن رَّبِّهِمۡ لَأَكَلُواْ مِن فَوۡقِهِمۡ وَمِن تَحۡتِ أَرۡجُلِهِمۚ مِّنۡهُمۡ أُمَّةٞ مُّقۡتَصِدَةٞۖ وَكَثِيرٞ مِّنۡهُمۡ سَآءَ مَا يَعۡمَلُونَ٦٦﴾
“Dan sekiranya mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan segala perintah Allah dalam) Taurat, Injil, dan (al-Quran) yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhan mereka, nescaya mereka akan dapat makan rezeki (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). Antara mereka ada golongan yang adil, namun kebanyakan mereka berkelakuan buruknya dan keji.” (Surah al-Ma’idah: 66)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Zulqa‘dah 1444 / 23 Mei 2023
[Bil: 41 / 2023]