Home Berita PAS Perlis

Pertahan Islam Punca Tuan Guru Presiden Dikecam

4052
SHARE

Oleh : Muhammad Hadi

KANGAR : Pelbagai kecaman dan kebencian yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu kepada Tuan Guru Presiden PAS sebenarnya berpunca daripada pendirian tegas beliau dalam mempertahankan Islam.

Demikian didedahkan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hj. Razman Zakaria, ketika berucap di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) pada 20 Mac yang lalu.

Katanya, ketika PAS masih berada dalam Pakatan Rakyat lagi, sikap tegas Tuan Guru Presiden terhadap isu-isu berkaitan Islam menyebabkan beliau tidak disenangi oleh sebilangan pimpinan dalam pakatan tersebut.

Tambah beliau, kesan daripada perkara tersebut, pelbagai kecaman dilemparkan kepada Presiden PAS, termasuklah tohmahan kononnya perjuangan beliau telah tersasar di samping cuba membawa PAS untuk bersama-sama (bergabung) dengan Umno.

Tidak kurang juga katanya yang membandingkan sikap tegas beliau (Presiden PAS) dengan ‘kelembutan’ yang ditunjukkan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menurut mereka menjadi punca kepada kehancuran pakatan tersebut.

Walhal ujarnya, ketegasan Tuan Guru Presiden PAS adalah disebabkan beliau menyedari wujudnya usaha terancang untuk melemahkan Islam di negara ini yang didokongi pihak-pihak tertentu yang berselindung di sebalik parti-parti politik.

“Sebab itu Tuan Guru (Presiden PAS) kata (PAS) nak kena jaga Islam di negara ini.

“Cuba bayangkan, kalaulah puak ini (golongan penentang Islam) berkuasa, apa akan jadi kepada agama Islam?

“Tuan Guru nampak bahawa kepentingan politik kali ini, kita (PAS) kena berkuasa, orang melayu kena berkuasa, paling tidak kita kena menyekat supaya golongan yang menentang Islam ini tidak berjaya menguasai DUN atau Parlimen,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak turut menjelaskan beberapa isu yang berlaku mutakhir ini seperti isu permohonan murtad di Sarawak dan penentangan terhadap RUU 355 menjadi bukti jelas bahawa golongan terbabit semakin berani mencabar kesucian Islam.

Namun ujarnya, meskipun sedar akan perkara tersebut, tidak ada pihak dalam negara ini termasuk parti-parti politik, yang berani tampil mempertahankan Islam melainkan PAS.

Justeru katanya, umat Islam tiada pilihan lain selain memastikan kemenangan PAS dalam pilihan raya umum nanti bagi memastikan kedaulatan serta kesucian Islam terus terpelihara.