Islam Dijulang, Raja Dijunjung, Rakyat Disanjung
Semoga Allah Melindungi Tuanku Dunia Dan Akhirat
PAS Kawasan Petra Jaya merafak sembah menjunjung kasih dan merakamkan setinggi-tinggi tahniah sempena pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-15.
Patik sekalian rakyat jelata melahirkan rasa yang sungguh gembira dan bersyukur untuk berada di bawah pemerintahan Tuanku yang menerajui takhta Kerajaan Malaysia.
Raja dan rakyat berpisah tiada. Inilah kata-kata yang dapat direalisasikan oleh Tuanku apabila sering kali mencemar duli menziarahi rakyat jelata yang berduka tatkala musibah melanda. Tuanku tidak pernah kekok malah sentiasa mesra bersama jelata.
Telah menjadi kelaziman juga bagi Tuanku menyantuni rakyat dengan solat berjemaah bersama. Sentiasa mendengar keluh kesah rakyat jelata membuatkan kasih sayang sentiasa erat tersemat di hati mereka. Jubah dan kopiah ibarat pakaian utama ke sini-sana mencerminkan kesederhanaan dan peribadi mulia yang tertanam dalam diri Tuanku.
Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T yang telah mengurniakan kami sekalian rakyat seorang raja yang berjiwa besar dan sangat dekat di hati. Seorang raja yang membawa kami menekuni makna kesederhanaan Islam yang sebenar. Seorang raja yang menjadi payung kepada negara.
PAS Kawasan Petra Jaya mewakili seluruh rakyat di kawasan Petra Jaya mendoakan agar Tuanku sentiasa dalam pemeliharaan Allah S.W.T serta dikurniakan nikmat kesihatan, taufiq dan hidayah dalam pemerintahan Tuanku serta memimpin sekalian rakyat jelata ke arah jalan yang diredhai Allah.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Farhan Baharuddin
Ketua Penerangan,
PAS Kawasan Petra Jaya
{Jathumbnail off}