Home Minda Presiden

Perpaduan ummah: Perspektif Islam bersama keluarga masyarakat majmuk Malaysia

478
SHARE

Minda Presiden PAS

PERPADUAN UMMAH: PERSPEKTIF ISLAM BERSAMA KELUARGA MASYARAKAT MAJMUK MALAYSIA


Tasawwur Islam telah dikelirukan oleh pandangan pihak yang jahil berkenaannya. Tambahan lagi, terdapat dalam kalangan mereka yang mempunyai semangat permusuhan dan berdendam terhadap kejayaan yang telah dicapai oleh Islam.

Sering kali isu serpihan daripada segelintir umat Islam yang terseleweng daripada ajaran Islam sebenar dijadikan contoh. Walhal ia hanya dilakukan oleh seorang individu dalam kalangan berjuta orang umat Islam.

Walaupun kesilapan yang berlaku itu laksana satu titik yang kecil dalam lautan yang luas, lalu dibesar-besarkan aspek yang negatif seperti gunung yang besar dan tinggi, kemudian ia dilihat daripada jarak yang jauh. Maka, kefahaman yang lahir terhadap Islam adalah terlalu salah dan zalim.

Apa yang berlaku itu, laksana kumpulan orang buta yang mahu mengenal gajah tanpa melihat keseluruhan jasadnya. Maka, mereka yang meraba perut gajah menggambarkan gajah seperti dinding, manakala mereka yang meraba belalai pula membayangkan gajah seperti ular.

Mereka yang meraba ekor gajah pula memikirkan gajah seperti tali, manakala mereka yang meraba telinganya pula merasa-rasa gajah seperti kipas. Sedangkan mereka yang buta, tuli dan pekak pula menghidu bahu najis gajah, maka mereka menyangka yang dikatakan gajah itu hanyalah bau-bauan najis semata-mata.

Begitulah sudut pandang para orientalis terhadap Islam dalam penulisan mereka. Bahkan, di negara kita pun terdapat kalangan mereka yang terpengaruh dengan pandangan sedemikian dan turut menyebarkan kesesatannya.

Malah, ada juga yang sengaja tidak membaca daripada rujukan Islam yang sebenar, lalu memberikan pandangan secara terpilih berdasarkan kesalahan yang telah dilakukan oleh penganut Islam yang sengaja dicari dan dibesar-besarkan. Mereka tidak melihat keseluruhan umatnya dan tidak merujuk sumber ilmu Islam yang tetap terpelihara.

Kini, dirujuk pula kepada media yang jahil dan fasiq, sehingga menjadikan persepsi negatifnya terhadap Islam terlalu parah dan akhirnya mencipta penyakit Islamofobia.

Al-Quran merupakan firman atau kalam Allah SWT dan sebuah kitab suci umat Islam yang diimani tanpa sedikit pun keraguan dan dipelihara akan kebenarannya.

Al-Quran menegaskan betapa eratnya hubungan sesama manusia yang berkonsepkan sebuah keluarga besar. Mereka menjalinkan hubungan silaturrahim dan diwajibkan berta‘aruf serta berta‘awun (berhubungan untuk kenal-mengenal bagi tolong-menolong) dalam perkara yang baik dengan semua pihak. Hal tersebut dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا١﴾

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian dari diri yang satu (Adam AS), dan daripada (Adam) itu Allah menciptakan pasangannya (isterinya iaitu Hawwa’), dan juga yang memkembangbiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kalian selalu meminta dengan menyebut-yebutkan nama-Nya, serta (peliharalah) hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kalian.” (Surah al-Nisa’: 1)

Ayat di atas menegaskan bahawa manusia adalah berasal daripada satu keluarga yang beribubapakan Nabi Adam AS dan Hawwa’ AS. Walaupun sudah menjadi masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa setelah berlalu tempoh masa yang panjang, namun mereka diwajibkan bersilaturrahim antara satu sama lain.

Jalinan hubungan bersama mereka yang dekat dan jauh atas asas kemanusiaan yang berkonsepkan taqwa, iaitu memelihara sempadan ketetapan Allah SWT yang akan memerhati dan melakukan muhasabah pada Hari Akhirat kelak.

Firman Allah SWT yang menjelaskan perkara tersebut:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kalian di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kalian, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kalian).” (Surah al-Hujurat: 13)

Ayat di atas pula menegaskan bahawa kehidupan bermasyarakat madani dalam konteks hubungan sesama manusia yang diciptakan daripada berbagai-bagai suku kaum dan bangsa adalah wajib dijalinkan. Termasuklah hubungan sesama manusia yang diciptakan dengan perbezaan dari sudut kemampuan akal, ilmu, tenaga serta pendapatan. Kebaikan bagi setiap manusia itu adalah ukuran sebenar ketaqwaan dan kepatuhan mereka kepada perintah Allah SWT.

Oleh itu, diwajibkan Islam untuk memimpin kerana taqwa itu wujud bersama Islam dan iman yang mengawal hati manusia. Maka, disyaratkan juga kepimpinan itu dipimpin oleh mereka yang berpengaruh dalam kalangan bangsa dan penganut Islam yang mendukungnya.

Perkara ini sentiasa berubah dalam senario perjalanan sejarah Islam pada zaman kejayaannya yang tidak terikat kepada satu-satu bangsa sahaja. Jangan dilihat dan dijadikan ukuran setelah Islam tidak berkuasa dan berdaulat kerana ditumbangkan kerajaannya, tetapi ajarannya tetap menjadi ilmu yang terpelihara dengan selamat.

Semua negara di dunia pada hari ini memilih kepimpinan negara masing-masing daripada kalangan penganut ideologi tertentu, sama ada ideologi Timur ataupun Barat, fahaman sederhana ataupun ekstrem. Justeru, Islam juga mewajibkan kepimpinannya agar beriman dan budiman mengikut neraca Islam, bagi melaksanakan penyelesaiannya terhadap masalah negara.

Dalam skop Malaysia, tanpa dinafikan bahawa kaum rumpun Melayu Islam dan bumiputera adalah penduduk asal negara ini dan mereka mendominasi masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum. Kepelbagaian yang terbentuk mengikut acuan penjajah yang membawa masuk rakyat dari tanah jajahan mereka, lalu dikumpulkan di tanah air ini.

Semua mereka yang dibawa masuk diperhambakan oleh penjajah dengan cara yang telah diaturkan di tempat masing-masing untuk diadu dombakan sesama masyarakat. Perkara tersebut dilakukan supaya rakyat sentiasa berada dalam masalah, sekali gus memberikan peluang seterusnya kepada para penjajah itu.

Semua kaum dan bangsa bersama-sama menentang penjajah dengan ideologi yang berbeza, tetapi berkongsi hala tuju yang sama iaitu mahu mencapai kemerdekaan daripada cengkaman penjajah yang zalim. Inilah bentuk masyarakat majmuk yang telah bertapak di negara ini pada asalnya.

Penjajah meletakkan syarat kemerdekaan yang berkonsepkan jus soli, bermaksud hak kerakyatan yang sama rata iaitu taraf kerakyatan yang diberi berdasarkan tempat kelahiran tanpa mengira bangsa dan keturunan dengan syarat yang longgar. Pada masa yang sama, mereka juga memberikan beberapa kelonggaran yang lain, sehingga menyebabkan berlaku kebanjiran kerakyatan kepada golongan pendatang yang tidak boleh berbahasa dan menghormati budaya tempatan.

PAS bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan sebahagian daripada kalangan UMNO menentang konsep tersebut. Akan tetapi, kedudukan PAS yang hanya mewakili satu kerusi pembangkang tidak mampu menghadapi gabungan Parti Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) yang menguasai Majlis dan mereka telah menerima konsep jus soli yang disyaratkan oleh penjajah British.

Penyusunan masyarakat pada zaman penjajah yang membiarkan kawasan majoriti Melayu Islam dan bumiputera, kawasan yang paling besar di Malaysia Timur, Pantai Timur Semenanjung dan di kawasan utaranya mengakibatkan mereka terpinggir daripada kemudahan asas (infrastruktur). Termasuklah kemudahan dari aspek pendidikan dan pelajaran. Selain itu, lebih banyak kawasan petani miskin dan nelayan yang terbiar.

Hal ini berbeza dengan kawasan yang paling ramai didiami kaum yang dibawa masuk, apabila mereka ditempatkan di bandar utama seperti kawasan perindustrian, perdagangan dan pelabuhan, serta ladang dan kebun yang luas. Sehingga mereka menguasai ekonomi, sedangkan bangsa Melayu dan bumiputera terus ketinggalan dalam semua perkara.

Masyarakat Melayu Islam yang berpegang dengan agama mereka, sekali-kali tidak mengambil tindakan yang agresif. Sehingga kelompok kecil daripada kalangan kaum lain walaupun hanya satu keluarga, boleh hidup di tengah-tengah majoriti masyarakat Melayu yang sangat besar.

Bahkan, kaum tersebut juga boleh berniaga dengan bebas dan maju dalam keadaan orang Melayu tidak berminat atau tidak mampu berniaga kerana menghadapi saingan dengan mereka yang lebih berpengalaman dan berpersatuan. Mereka juga masih bebas menganut agama masing-masing, juga diizinkan membuka sekolah bahasa dan menghidupkan budaya kaum masing-masing. Suatu keadaan yang tidak berlaku di negara-negara yang lain.

Maka, tuduhan fanatik perkauman terhadap orang Melayu dan golongan bumiputera adalah satu tohmahan yang sangat zalim dan menyentuh sensitiviti masyarakat yang perlu dijaga.

Apakah penyelesaian kepada isu masyarakat majmuk yang dibentuk masalahnya oleh penjajah ini?

Mereka membentuk masyarakat majmuk laksana meninggalkan bom jangka yang boleh diletupkan pada bila-bila masa sahaja. Bahkan, boleh merosakkan kita semua yang berada dalam satu bahtera Malaysia yang melayari perjalanannya menghadapi gelombang politik dalaman dan antarabangsa. Dalam pada itu, kita tidak boleh membuang atau menghapuskan sifat majmuk yang terbentuk sebegini rupa.

Penyelesaian pelbagai ideologi yang lain dalam dunia telah menemui kegagalan, apabila kita menyaksikan terungkainya Kesatuan Soviet (Soviet Union) pada abad yang lalu. Mereka itu berideologi komunis atau sosialis yang paling ekstrem. Kejatuhan mereka menandakan kegagalan blok sosialis dan juga semua mazhabnya.

Kini pula, kita menyaksikan kekalahan liberal kapitalisme yang bersifat tidak adil dalam politik yang menjajah dan memonopoli kuasa besar di negara Barat (Eropah dan Amerika). Kekalahan yang dihadapi di Afghanistan adalah suatu permulaan ajal bagi liberal kapitalisme.

Golongan liberal kapitalisme berslogankan kebebasan demokrasi Barat yang menjajah atas nama demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia dengan pendekatan neo-kolonialisme yang mempermainkan negara dan bangsa yang lemah. Keadaan yang pernah berlaku sebelum ini, sebagaimana yang berlaku di Vietnam dan Iraq.

Sikap yang sederhana pada dasarnya telah ditunjukkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai sebuah parti yang berlandaskan Islam mendahului konsep bangsa, bahkan termasuk juga UMNO yang meletakkan asas kebangsaan di hadapan juga tidak melampau kerana masih mempunyai roh Islam. Begitu juga parti yang paling baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mempunyai persamaan.

Jangan mengambil kira tindakan yang sangat terpencil dengan kenyataan lisan dan tulisan sahaja, kerana ia tidak akan mampu membakar hangus situasi hubungan antara kaum. Sekiranya berlaku ketegangan antara kaum, ia tidak akan melarat sepertimana yang berlaku di negara lain.

Walaupun terdapat parti perkauman yang ekstrem dengan tuntutan-tuntutan melampau tanpa menghormati hak yang telah diberikan, bahkan ada juga yang membawa ideologi yang melampau bertapak di sini, tetapi semuanya tidak boleh menguasai keadaan stabil yang wujud.

Namun begitu, cahaya Islam sekali-kali tidak boleh dipadamkan oleh penjajah yang bertali arus datang ke negara ini. Bermula dengan kedatangan Portugis pada tahun 1511 ke Melaka, dan kemudiannya diikuti dengan penjajah Belanda dan Inggeris.

Walau bagaimanapun, cahaya Islam masih tetap hidup dalam masyarakat rumpun Melayu yang menganutnya. Sekalipun bangsa Melayu masih belum berkuasa sepenuhnya sepertimana yang telah diaturkan oleh penjajah sebelum kemerdekaan, dan bangsa Melayu pernah berdaulat sebelum kedatangan penjajah.

Hal ini menjadi suatu hikmah yang berharga, apabila kemerdekaan yang dicapai menerusi rundingan kemerdekaan akhirnya berjaya meletakkan beberapa tonggak yang penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Antaranya ialah Islam menjadi Agama bagi Persekutuan, hak Melayu Islam dan bumiputera serta kedudukan institusi Raja Berperlembagaan.

Perkara tersebut melahirkan keadaan yang istiqamah, sekiranya Islam diberikan peranan untuk menunjukkan semula konsep perpaduan umat dalam masyarakat majmuk yang pernah dijayakan dalam sejarahnya. Konsep perpaduan umat mengikut ‘road map’ yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika menegakkan negara masyarakat majmuk yang membawa kejayaan yang bersejarah, walaupun selepas kewafatan Baginda SAW sehingga beberapa abad selepas itu.

Rasulullah SAW memulakan langkah mendirikan negara dengan mendahulukan perpaduan umat dalam kalangan penganut Islam daripada kelompok Muhajirin yang berasal daripada Makkah, dan kelompok Ansar iaitu penduduk Madinah daripada kalangan Aus dan Khazraj. Termasuklah juga kabilah Arab yang lain, bersama individu bukan Arab seperti Bilal bin Rabah RA dan Salman al-Farisi RA.

Seterusnya, diikuti dengan penyertaan kaum bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam daripada kalangan Yahudi, Kristian dan Musyrikin. Mereka semua menerima kepimpinan Islam yang diberikan peluang memimpin, setelah melihat kegagalan kepimpinan mereka sendiri.

Dalam konteks kehidupan bermasyarakat majmuk, Rasulullah SAW menggalakkan kepada umat agar menimba ilmu dan mengambil pengalaman yang berfaedah daripada kaum bukan Islam dalam urusan duniawi. Sehingga, akhirnya berjaya mewujudkan ilmu yang dimasukkan roh Islam dan dapat mengawasi kemajuannya kepada perkara-perkara yang positif dan menolak segala aspek yang negatif.

Sejarah mencatatkan bahawa revolusi yang berlaku di Eropah adalah hasil daripada mereka memanfaatkan Tamadun Islam, tetapi tanpa panduan agama yang memberikan hidayah. Kini, dapat disaksikan tanda-tanda kemusnahannya kerana kemajuan Barat yang terpisah daripada agama atau agamanya tidak berkuasa.

PAS mengambil teladan daripada Rasulullah SAW dengan memulakan langkah penyatuan umat Islam. Kita bermula dengan pembentukan Muafakat Nasional (MN) yang menyatukan PAS bersama UMNO dan BERSATU di Semenanjung. Setelah itu, diikuti dengan gagasan yang lebih besar bersama parti-parti di Sarawak, Sabah dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem atas nama Perikatan Nasional (PN). Sehingga akhirnya berjaya mengambil alih kuasa secara Demokrasi Berparlimen.

Penyelesaian Islam wajib diberikan peranan bagi menyelamatkan negara yang bermasyarakat majmuk, walaupun ia dipaksa oleh penjajah untuk dijadikan sebagai bom jangka. Adapun kita semua wajib mematikan tujuan jahat penjajah itu. Apa yang berlaku sebenarnya mengandungi hikmah yang besar, supaya Islam diberikan gilran semula bagi menyelamatkan manusia.

Para ulama’ membahagikan umat manusia yang disampaikan mesej Islam kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama ialah “ummah al-ijabah”, iaitu mereka yang telah menganut Islam, manakala kumpulan kedua ialah “ummah al-da‘wah” iaitu seluruh manusia yang diajak bersama Islam. Sama ada mereka menganut Islam tanpa paksaan, atau berada di bawah naungan pemerintahan Islam yang adil kepada semua.

Kita semua hendaklah menjadikan titik pertemuan yang asal iaitu masyarakat manusia merupakan sebuah keluarga besar yang berasal daripada kedua-dua ibu bapa yang sama (Adam AS dan Hawwa’ AS). Kemudiannya, masyarakat dipecahkan kepada berbagai-bagai bangsa dan suku kaum yang bertebaran di seluruh pelosok dunia.

Setelah itu, keadaan manusia yang bertebaran telah menemukan mereka untuk hidup bermasyarakat dan saling berhajat antara satu sama lain. Hal ini demikian kerana, kebolehan setiap orang dan pemilikan sumber hasil yang berlainan tetapi masing-masing saling memerlukan.

Islam pernah memerintah wilayah yang besar dan masyarakat yang lebih majmuk pada zaman belum ada kemudahan sepertimana pada hari ini. Maka, masyarakat majmuk yang wujud di Malaysia adalah lebih kecil daripada itu.

Islam tidak melarang kecintaan kepada kaum dan bangsa, tetapi yang dilarang ialah sifat ‘asabiyyah (fanatik perkauman). Ini kerana sabda Rasulullah SAW:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ.

“Bukan daripada kalangan kami orang yang mengajak kepada ‘asabiyyah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang atas dasar ‘asabiyyah, dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati atas dasar ‘asabiyyah.” (Riwayat Abu Dawud 5121)

Kemudian dalam riwayat hadis yang lain, Rasulullah SAW ditanyakan:

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْعَصَبِيَّةُ؟

“Apakah yang dimaksudkan dengan ‘asabiyyah itu wahai Rasulallah?”

Sabda Baginda SAW:

‏أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ‏.‏ ‏

“Bahawa kamu menolong kaummu atas dasar kezaliman.(Riwayat Abu Dawud 5119)

Oleh yang demikian, kami memperkenalkan penyelesaian Islam yang menjadikan manusia sebagai satu keluarga besar daripada Adam AS dan Hawwa’ AS. Sekali gus mewajibkan bertolong-tolongan antara satu sama lain dalam hubungan masyarakat madani yang majmuk laksana sebuah keluarga.

Kita janganlah sekali-kali mengundang kuasa asing untuk membuat perubahan yang gopoh, semata-mata bagi mendapatkan kuasa. Laksana merawat masalah dengan racun yang membunuh.

Kita menolak teori perpaduan berasaskan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang menghapuskan rupa bangsa yang diciptakan oleh Allah Pencipta alam, dan juga melupakan peristiwa jus soli yang telah ditelan zaman.

Marilah kita bersatu pada titik persamaan dengan semangat Keluarga Malaysia. Janganlah bertindak melampau dalam perbezaan sesama kita, tetapi sentiasa berbincang dengan penuh kebijaksanaan mencari kebenaran dalam perkara yang berbeza dan bertelingkah antara satu sama lain.

Firman Allah SWT:

﴿وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ٣٣ وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ  ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ٣٤ وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ٣٥ وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ٣٦﴾

“Dan tiada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: ‘Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!’ (33); Dan tidaklah sama (kesan dan hukum) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila kamu berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34); Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan, melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar. Dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan, melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar daripada kebahagiaan dunia dan akhirat. (35); Dan jika kamu dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (36).” (Surah Fussilat: 33-36)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 September 2021 / 25 Muharram 1443