Home Berita PAS Perlis

Perlis Negeri Pertama Anjur Roadshow HPU914

722
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR: Perlis menjadi negeri pertama yang telah menganjurkan Jelajah Ceramah Penyatuan Ummah peringkat negeri bertempat di Dewan 2020 dekat sini, malam tadi.

Kira-kira 2000 orang, hadir memenuhi ruang tempat duduk dewan berkenaan manakala lebih 1500 orang pula direkodkan menonton ceramah berkenaan yang disiarkan secara langsung menerusi facebook PAS Negeri Perlis.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man serta Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli mewakili PAS berucap dalam program jelajah malam tadi.

Turut berucap, wakil daripada Umno iaitu Dato’ Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang merupakan Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perlis, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim.

Hadir sama dalam program semalam, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hj. Hashim Jasin dan Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man, serta para pemimpin kedua-dua parti.

Menurut Ketua Penerangan PAS Perlis, Mohd. Saifizi Saidon, kejayaan penganjuran program semalam membuktikan usaha penyatuan ummah yang sedang giat dijalankan semakin membuahkan hasil.

“Respon yang diberikan oleh rakyat Perlis terhadap program jelajah ini amat positif dan ini memberi tanda bahawa penyatuan ummah yang sedang giat diusahakan oleh kedua-dua buah parti sudah menampakkan kejayaannya.

“Di samping itu juga, PAS turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Umno selaku penganjur bersama program ini serta Jabatan Amal Negeri Perlis dan ARC Perlis yang turut bertungkus-lumus dalam menjayakan program pada malam ini,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Selain Perlis, Jelajah Ceramah Penyatuan Ummah ini akan turut diadakan semua negeri sebelum berlangsungnya Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan PWTC Kuala Lumpur pada 13 hingga 14 September nanti.

Sementara itu, pada hari ini akan berlangsung pula dua buah program lagi iaitu Konvoi Penyatuan Ummah Merdeka serta program Himpunan Penyatuan Ummah Negeri Perlis bertempat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Arau.