Home Berita PAS Perlis

Perlis haram ‘mukhannath’ masuk masjid

98
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 22 Sept: Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-53/2021 yang berlangsung pada 23 dan 24 Jun lalu telah membuat ketetapan melarang golongan ‘mukhannath’ (mak nyah) daripada memasuki masjid di negeri ini.

Keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira faktor kecelaruan jantina golongan yang dibimbangi boleh mengganggu suasana ibadah di masjid.

Menurut satu kenyataan yang dimuatkan dalam Laman Web Jabatan Mufti Negeri Perlis, tindakan golongan tersebut yang sengaja menyerupai jantina berbeza boleh mendatangkan fitnah di samping menimbulkan masalah kepada para jemaah lain.

“Solat jemaah golongan ini hendaklah berdasarkan jantinanya yang sebenar dan mereka diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina, kerana boleh mengganggu suasana ibadah di masjid.

“Golongan ini juga dilarang mengerjakan haji dan umrah jika penampilan mereka boleh menimbulkan fitnah kepada jemaah haji dan umrah,”

“Solat jemaah golongan mak nyah ini hendaklah berdasarkan jantinanya sebenar dan dilarang mengerjakan haji dan umrah jika penampilan mereka boleh menimbulkan fitnah kepada jemaah haji dan umrah lain,” katanya di sini semalam.

Kenyataan berkenaan turut menjelaskan, tasyabbuh (perbuatan lelaki atau wanita dengan sengaja meniru jantina berbeza) adalah haram kerana termasuk di dalam dosa besar yang dilaknat Allah SWT seperti yang dijelaskan dalam hadis Nabi SAW daripada Ibn Abbas r.a iaitu Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan orang wanita yang menyerupai lelaki. (HR al-Bukhari).

Namun, jika penyerupaan itu tidak disengajakan seperti sifat lembut ada pada lelaki sejak asal bukan sengaja dibuat-buat, mereka yang berkenaan tidak dikira melakukan ‘tasyabbuh’ bahkan sifat berkenaan adalah dimaafkan.