Home Berita PAS Perlis

Perkukuh Ilmu Hadapi Pertembungan Ideologi

1844
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Umat Islam perlu memperkukuh ilmu bagi membina kefahaman Islam yang jelas dalam menghadapi pertembungan ideologi yang semakin mencabar pada hari ini, demikian dinyatakan AJK PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik.

Katanya, zaman ini umat Islam bukan sahaja berhadapan dengan pertembungan senjata, tetapi juga terpaksa berhadapan dengan konflik ilmu dan pemikiran yang menurutnya, jauh lebih merbahaya kerana mampu menyesatkan manusia.

Menurutnya lagi, golongan yang berpegang kepada ideologi-ideologi yang bercanggah dengan Islam semakin berani menggunakan hujah agama untuk mempertahankan ideologi mereka sehingga menyebabkan masyarakat menjadi keliru dalam membezakan antara pihak yang benar-benar memperjuangkan Islam dan sebaliknya.

Justeru beliau menyarankan agar para pendokong perjuangan Islam memiliki ilmu dan kefahaman Islam yang mantap untuk menghadapi golongan berkenaan serta bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat.

“Zaman ini zaman pertarungan ilmu, pemikiran, zaman di mana Islam berdepan dengan ideologi liberalisme, pluralisme, bukan lagi zaman pertarungan pedang.

“Musuh pun guna hujah agama untuk pertahankan fahaman mereka, (justeru) kita memerlukan kefahaman agama yang jelas bagi menghadapi golongan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Subuh di Balai Islam MADI, Arau pada 6 Oktober yang lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata hanya manusia yang Allah S.W.T. inginkan kebaikan untuknya, akan diberikan kefahaman agama yang sebenar oleh-Nya.

Ini kerana ujarnya, terdapat golongan manusia yang memiliki ilmu, namun tidak dikurniakan kefahaman, menyebabkan mereka tidak dapat memanfaatkan ilmu yang telah dimiliki serta hidup dalam kerugian sepanjang hayatnya.

Justeru beliau mengingatkan para pendokong perjuangan Islam supaya sentiasa ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu agar dikurniakan kefahaman yang jelas serta diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus istiqamah  dalam perjuangan Islam.