Home Berita PAS Perlis

Perkemas tarbiyah ruhiyah!

567
SHARE

 

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 30 Jun: “Soal akidah ini adalah perkara yang tidak boleh kita kompromi, mesti seratus peratus, tak boleh untuk kita kata hanya 99.99% saja!”

Demikian tegas Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad pada Liqa’ Fikri PAS Negeri Perlis yang berlangsung secara maya menerusi platform Google Meet semalam.

Menurutnya, amat penting bagi setiap ahli dan pimpinan PAS untuk sentiasa memastikan diri mereka bebas daripada sebarang unsur syirik yang merosakkan akidah.

Untuk itu katanya, aspek tarbiyah ruhiyah perlu diberi perhatian demi memelihara hubungan mereka dengan Allah SWT.

“Jadi kita nak didik roh kita ni supaya bersih dan suci untuk kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT dan merasakan Allah SWT itu berada di mana saja.

“Sama ada kita berada di dalam keadaan kita sunyi (bersendirian), ataupun di hadapan orang, dalam gelap atau terang, kita mendidik diri kita itu supaya kita merasakan bahawasanya Allah SWT itu sentiasa berada dekat dengan kita,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menggariskan lapan kepentingan tarbiyah ruhiyah terhadap amilin dan jemaah Islam.

Pertama ujarnya, tarbiyah ruhiyah mampu menyucikan jiwa para pejuang dan perkara berkenaan boleh dilakukan dengan melazimi amalan membaca al-Quran pada malam hari sementara yang kedua, tarbiyah ruhiyah menguatkan lagi hubungan amilin dengan Al-Khaliq (Pencipta).

“Yang ketiga, membersihkan hati yang kotor kerana apabila hati tidak bersih, akan menjadikan kita berat untuk melaksanakan tanggungjawab, menjadikan kita malas nak buat kerja-kerja jemaah.

“Keempat, (tarbiyah ruhiyah) mengelak daripada berlakunya pergolakan dalam jemaah kita akibat daripada syaitan yang merosakkan hati kita, supaya hati kita ni sentiasa ada hasad dengki dengan sahabat.

“Jadi akhirnya kita merosakkan dan menimbulkan permasalahan dalaman dalam parti kita, menimbulkan pergaduhan dan pergolakan dalam parti.

Tarbiyah berkenaan juga tambah beliau, melahirkan peribadi yang teguh dan mantap yang bergantung kepada Allah tanpa sebarang ragu-ragu manakala pemimpin jemaah yang cekal menyampaikan dakwah pula dapat dibentuk.

“Yang ketujuh, tarbiah ini menjadikan kalam kita ni kalam yang sentiasa didengari sebab apa yang kita percakapkan itu lahir daripada roh dan yang kelapan, kita dapat melahirkan (amilin) walaupun bilangannya sedikit tetapi berkualiti,” jelasnya.