Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Rogol : Masanya Untuk Syariah Islam Diperkasa

4,427 views
SHARE

1. Kes bapa merogol dan liwat anaknya sehingga lebih 600 kali sangat meruntun jiwa masyarakat. Hati kita bagai disiat-siat membacanya, apatah lagi membayangkan derita mangsa selama dua tahun.

2. Lebih malang, ini bukanlah kes pertama seumpamanya. Anak gadis kita diperkosa oleh ahli keluarga yang merupakan wali mereka, yang sepatutnya bertanggungjawab memberi perlindungan buat si gadis.

3. Di dalam Islam, rogol didefinisikan sebagai jenayah zina secara paksaan. Walau bagaimanapun, Islam sebagai agama rahmat tidak memberi hukuman kepada mangsa rogol.

Firman Allah s.w.t :

“Dan janganlah kamu memaksa hamba perempuan-perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia” (Surah An Nur : 33)

Dan firman-Nya lagi :

“Dan sesiapa yang memaksa mereka, sesungguhnya Allah — sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka — Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah An Nur : 33)

4. Hukuman bagi jenayah rogol dalam Islam adalah sebagaimana dalam hukmum hudud. Jenayah rogol adalah disamakan dengan jenayah zina.

5. Terdapat dua bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas perogol yang disabitkan kesalahan:

  • Rejam sehingga mati jika pesalah pernah melakukan persetubuhan melalui perkahwinan yang sah.
  • 100 sebatan ke atas pesalah yang belum pernah melakukan persetubuhan melalui perkahwinan yang sah dan penjara selama setahun.

6. Namun, sekiranya kesalahan tidak dapat dibuktikan melalui empat orang saksi atau pengakuan tertuduh ia boleh disabitkan berdasarkan keterangan lain seperti DNA, laporan perubatan dan lain-lain keterangan yang boleh dijadikan bahan bukti kes dan dikenakan hukuman yang dipanggil Takzir mengikut budi bicara mahkamah.

7. Hukuman Takzir boleh berlaku lebih keras daripada Hudud sekiranya mahkamah berpandangan ada keperluan untuk itu. Hukuman Takzir boleh mencapai tahap hukuman mati. Apatah lagi dalam kes rogol berkumpulan yang mendatangkan trauma dan kecederaan besar kepada mangsa dari sudut fizikal dan mental

8. Dewan Muslimat PAS Malaysia mendesak Kerajaan Persekutuan lebih serius menggubal undang-undang berasaskan hukum jenayah Islam sebagai alternatif kepada undang-undang sivil sedia ada yang terbukti gagal menyekat jenayah rogol.

9. Dewan Muslimat PAS Malaysia juga menyeru pengukuhan keluarga yang merupakan unit kecil yang terpenting dalam membina sebuah negara. Masyarakat perlu sama-sama diberikan ingatan demi peringatan akan kepentingan membentuk keluarga yang rukun berteraskan nilai-nilai Islam.

Firman Allah s.w.t :

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka” (Surah At-Tahrim : 6)

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 Zulkaedah 1438 H
13 Ogos 2017

 

{jathumbnail off}