Home Berita PAS Sabah

Perkasakan dakwah melalui institusi pendidikan

63
SHARE

Oleh : Nur Marlyannah Umar
28 Mac 2023

LAHAD DATU: Muslimat perlu memperkasakan dakwah melalui institusi pendidikan.

Menurut Perwakilan Dewan Muslimat PAS Lahad Datu, Martina Tahil, ini merupakan salah satu usaha untuk memberi kefahaman pendidikan Islam kepada masyarakat.

“Harapan kami supaya dengan cara ini dapat melahirkan insan soleh pintar dan menjadi penggerak gerakan Islam,” ujarnya dalam ucapan penangguhan sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah Kali Ke-33 di sini Sabtu lepas.

Muktamar itu telah dirasmikan oleh Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor.

Turut hadir, Ketua Pengarah Briged Muslimat Malaysia, Nuri Muhamad, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid dan Ketua Penerangan PAS negeri Ahmad Dullah.

Sementara itu, Perwakilan Dewan Muslimat PAS Papar, Azizah Salleh pula menyeru semua ahli berganding bahu memperkasakan institusi pendidikan di bawah PAS khususnya yang ada di Sabah iaitu TASTI, PASTI, SRITI dan SMITI bagi tujuan dakwah dan melahirkan modal insan yang akan memartabatkan Islam nanti.

“Melihat perkembangan pendidikan pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin, ianya boleh menjadi panduan dalam membentuk institusi pendidikan dan diperkasakan menjadi bukti gerak kerja dakwah dalam masyarakat,” ujarnya lagi.

Beliau turut memetik kisah zaman Uthman Bin Affan yang memulakan sistem pendidikan dengan lebih tersusun melalui penulisan al-Quran sehingga lahirnya kaedah ‘Rasm Uthmani’ iaitu kaedah bacaan al-Quran yang digunakan sehingga hari ini.