Home Berita PAS Terengganu

Perkasa Jelapang: Terengganu Tutup Pintu Jual Tanah Sawah

2
SHARE

SETIU – Kerajaan Negeri menegaskan pendirian tegas untuk memperkasa kawasan jelapang padi Terengganu dengan menutup sepenuhnya ruang jual beli tanah sawah yang berada dalam zon pertanian aktif bagi mengelakkan eksploitasi serta mengekalkan kelangsungan sumber makanan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Kelestarian dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, tindakan ini penting untuk memastikan pengeluaran padi dapat ditingkatkan tanpa mengorbankan tanah pertanian strategik.

“Kita nak kekalkan kawasan sawah kita, jangan ditukarkan untuk kegunaan lain.

“Memang kita akui nilai tanah sawah padi agak rendah, orang suka beli kemudian tambung dan pecah lot,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Seminar Pengukuhan Institusi Pesawah Kepada Petani Luar Jelapang Negeri Terengganu Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Perpustakaan Awam Setiu, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Ts. Osman Abdullah; Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka; serta Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Yusaini Amir Mohamad Nor.

Beliau menjelaskan bahawa kawasan pertanian aktif seperti Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) KETARA dan kawasan Lubuk Kawah tidak akan diberi kelulusan jual beli atau pertukaran syarat tanah.

“Bila tanah berada dalam kawasan pertanian aktif, kawasan jelapang padi, memang kita tak benarkan tanah tersebut dijual.

“Sebab sekali kita benarkan, ramai orang akan ikut jual tanah,” tambahnya.

Dato’ Dr. Azman turut mendedahkan terdapat pemilik tanah yang terperangkap selepas membuat urusan jual beli dan menambak tanah tanpa mengetahui sekatan yang dikenakan.

“Ada beberapa orang datang kepada kita menangis kerana dia tambung tanah dahulu, jual tanah tersebut siap dengan pembayaran.

“Barulah dia nak mohon tukar syarat dan pecah sempadan, bila kita semak kawasan tersebut berada dalam kawasan pertanian aktif, memang kita tak benarkan,” jelasnya.