Home Minda Presiden

Peristiwa Badar dalam bulan Ramadan

263
SHARE

Minda Presiden PAS
PERISTIWA BADAR DALAM BULAN RAMADAN


 Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدۡرٖ وَأَنتُمۡ أَذِلَّةٞۖ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ١٢٣﴾

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kalian mencapai kemenangan dalam Peperangan Badar, sedang kalian berkeadaan lemah (kerana kalian sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu, bertaqwalah kalian kepada Allah, supaya kalian bersyukur (akan kemenangan itu).” (Surah Ali ‘Imran: 123)

Peristiwa Badar berlaku pada 17 Ramadan Tahun Ke-2 Hijrah tanpa diduga dan dirancang, disebabkan konsep Islam yang mendahulukan perdamaian sehingga bersabar selama 13 tahun sewaktu berada di Makkah. Dahulunya mereka dizalimi dan dianggap salah kerana menyelamatkan seluruh manusia yang tenggelam dalam kesesatan jahiliah dari sudut aqidah, hukum dan akhlak.

Sehinggakan, mereka hidup dalam keadaan laksana undang-undang di rimba yang penuh dengan kezaliman. Hukum nafsu jahat mengatasi akal yang waras, sehingga orang-orang yang bijak dan berakhlak mulia dianggap sebagai pengacau yang mesti dihapuskan.

Kemenangan dalam peristiwa Badar berlaku kerana datangnya pertolongan Allah SWT yang luar biasa, serta strategi yang bijak oleh Rasulullah SAW dan para pemimpin sahabat RA. Termasuklah disebabkan oleh mereka yang ikhlas berjuang kerana Allah SWT.

Ajaran para rasul terdahulu sudah banyak diselewengkan kerana telah berlalu masa yang panjang. Manakala masyarakat pula terpengaruh dengan pihak yang berkuasa yang terlampau zalim, begitu juga para pemerintah yang berlagak seolah-olah mereka berkuasa seperti mempunyai kuasa tuhan.

Walaupun mereka bertamadun dari segi kebendaan dan bangunannya, namun semuanya dibina hasil daripada penindasan terhadap rakyat. Hal ini demikian kerana, hilangnya moral kemanusiaan.

Para bangsawan pula memperhambakan rakyat, pada masa yang sama para agamawan daripada kalangan Ahli Kitab dan golongan yang tidak mempunyai kitab, mengadakan hukum sendiri tanpa izin Allah SWT. Sehinggakan, mereka bersikap melampau dengan menggunakan agama sewenang-wenangnya seperti mengampunkan dosa seumpama tuhan.

Adapun kalangan yang baik dan ikhlas pula terpaksa beruzlah (menyembunyikan diri) kerana menunggu kelahiran Nabi akhir zaman yang telah dijanjikan oleh para rasul, bahkan disebutkan juga dalam kitab suci semua agama. Sedangkan kalangan mereka yang paling besar jumlahnya pula tertindas oleh kezaliman, dan mereka dalam ketakutan menunggu penyelamat.

Allah SWT memilih bumi Makkah menjadi tempat lahirnya Nabi akhir zaman. Satu tempat paling terpencil yang terletak di tengah-tengah padang pasir yang sangat tandus dan mencabar kehidupannya, sehingga masyarakat yang mendiaminya juga dalam kalangan bangsa yang paling ganas.

Rasul yang dipilih untuk diutuskan kepada seluruh manusia merupakan keturunan daripada zuriat Ibrahim AS yang dihormati oleh semua agama, sama ada Samawi mahupun bukan Samawi. Kesemua agama mendakwa Nabi akhir zaman ini menganuti agama mereka. Allah SWT berfirman:

﴿مَا كَانَ إِبۡرَٰهِيمُ يَهُودِيّٗا وَلَا نَصۡرَانِيّٗا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفٗا مُّسۡلِمٗا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ٦٧﴾

“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah daripada kalangan orang-orang Musyrik.” (Surah Ali ‘Imran: 67)

Rasul membawa ajaran yang berjenama Islam kepada seluruh manusia, bagi membetulkan peranan manusia secara menyeluruh dengan ajaran yang sempurna. Tiba-tiba, Baginda mendapat tentangan yang hebat dan keras, khususnya daripada masyarakat Arab yang paling liar dan ganas itu.

Namun begitu, Islam diwajibkan bermula melalui cara berdakwah dengan hujah yang bijak, lembut dan damai. Sehinggakan, perjalanan dakwah itu memakan masa selama 13 tahun.

Hujah yang bijak dan keperibadian yang paling berakhlak pada diri Rasul yang dilantik itu dibalas dengan kezaliman. Walaupun mereka pernah melihatnya sendiri ketika Rasul bersama mereka dan memujinya sebelum Baginda dilantik menjadi rasul.

Bahkan, mereka juga mengaku benarnya petunjuk yang dibawa oleh Rasul itu dan diberikan kepercayaan kepadanya untuk menyelesaikan masalah. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٥٧﴾

“Dan mereka (yang kafir) berkata: ‘Kalau kami menyertaimu dan menuruti petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta-merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang).’ Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).” (Surah al-Qasas: 57)

Mereka tidak boleh menerima ajaran yang disampaikan oleh Rasul itu kerana terpengaruh dengan keadaan manusia yang semuanya rosak, jahat dan zalim. Malah, mereka pula mengajak Rasulullah SAW agar mengekalkan keadaan jahiliah yang merosakkan itu dan bersedia menyerahkan kuasa kepadanya dengan dilantik menjadi raja serta diberikan sokongan harta dan segala-galanya.

Akan tetapi, semua tawaran tersebut ditolak kerana perbuatan itu merupakan suatu kesalahan dan pengkhianatan terhadap amanah Allah SWT. Dalam pada itu, seorang Rasul itu wajib menyampaikan yang benar dan memimpin masyarakat manusia kepada petunjuk yang menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat.

Sehingga golongan musuh merancang untuk membunuh Rasulullah SAW setelah pengikutnya dizalimi dan ada sebahagiannya yang mati dibunuh. Akhirnya, Baginda SAW bersama kaum Muslimin yang lain terpaksa melakukan hijrah.

Penghijrahan bagi menegakkan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka bersama masyarakat majmuk. Selain itu, mengajak mereka kepada Islam tanpa paksaan atau sedia bersama pemerintahan yang adil kepada seluruh manusia bermasyarakat majmuk. Walau bagaimanapun, negara yang adil itu dikepung dari segenap penjuru.

Bagi menghadapi tentangan yang melampau dan zalim itu, Allah SWT berfirman:

     ﴿أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ٣٩﴾

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).” (Surah al-Hajj: 39)

Umat Islam diizinkan berperang kerana mereka telah dizalimi, serta untuk mempertahankan kewajipan menegakkan negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbagai-bagai agama dan bangsa. Sebuah negara yang berkonsepkan aqidah (iman) yang mengawal diri bagi menegakkan konsep tanpa paksaan dalam beragama dan adil terhadap semua.

Pada masa yang sama, perdamaian hendaklah didahulukan sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٦١﴾

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Anfal: 61)

Oleh kerana pengaruh Islam mendapat sambutan, khususnya dalam kalangan miskin dan hamba abdi yang ditindas paling ramai jumlahnya, menyebabkan mereka menjadi mangsa kezaliman yang paling kejam. Khususnya terhadap mereka yang tidak mampu berhijrah. Allah SWT berfirman:

﴿وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا٧٥﴾

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas daripada kalangan kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir Musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (daripada ancaman musuh).’” (Surah al-Nisa’: 75)

Pada masa yang sama, Allah SWT mewajibkan umat Islam agar menunjukkan akhlak yang mulia dalam peperangan dengan tidak melampau sekalipun terhadap musuh. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ١٩٠﴾

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kalian, dan janganlah kalian menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.” (Surah al-Baqarah: 190)

Maka, diharamkan membunuh mereka yang tidak terlibat dengan peperangan seperti kaum wanita, orang tua, kanak-kanak, para paderi dan lain-lain. Termasuklah juga terhadap tawanan perang dan dilarang mencencang musuh yang telah mati.

Peristiwa Badar yang berlaku pada bulan Ramadan ini menguji kesabaran umat Islam di medan peperangan supaya mereka sentiasa berprinsip dan berakhlak. Walaupun ketika keadaan paling marah yang membakar terhadap musuh yang paling zalim yang datang menceroboh.

Peristiwa Badar ini ditakdirkan oleh Allah SWT berlaku tanpa perancangan untuk berperang di pihak Muslimin. Hal ini disebabkan mereka hanya ingin melakukan sekatan ekonomi melalui tindakan terhadap rombongan dagang yang pulang dari Syam.

Sebaliknya, rombongan tersebut dapat membolosi sekatan tersebut. Malah, mereka terserempak dengan bala tentera bantuan yang lebih besar jumlahnya serta lengkap dengan senjata peperangan, seperti pasukan berkuda, berunta dan pasukan pemanah. Kekuatannya berjumlah 1,000 orang anggota yang lengkap dengan senjata dan pakaian perang pada zaman itu seperti baju rantai besi dan perisai.

Adapun pasukan Islam pula hanya seramai 313 orang yang tidak lengkap persenjataannya. Bahkan, hanya membawa dua ekor kuda dan beberapa ekor unta yang ditunggang secara bergilir, disebabkan tujuan kedatangan mereka bukanlah untuk berperang.

Allah SWT menyebutkan apa yang berlaku dengan firman-Nya:

﴿وَإِذۡ يَعِدُكُمُ ٱللَّهُ إِحۡدَى ٱلطَّآئِفَتَيۡنِ أَنَّهَا لَكُمۡ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيۡرَ ذَاتِ ٱلشَّوۡكَةِ تَكُونُ لَكُمۡ وَيُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُحِقَّ ٱلۡحَقَّ بِكَلِمَٰتِهِۦ وَيَقۡطَعَ دَابِرَ ٱلۡكَٰفِرِينَ٧ لِيُحِقَّ ٱلۡحَقَّ وَيُبۡطِلَ ٱلۡبَٰطِلَ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُجۡرِمُونَ٨﴾

“Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu daripada dua angkatan, menjadi untuk kalian (menghadapinya), sedang kalian suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kalian (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (agama Islam) dengan kalimah-Nya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya. (7); Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir Musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya. (8)” (Surah al-Anfal: 7-8)

Walaupun ada pendapat dalam kalangan musuh itu yang mencadangkan supaya mereka berundur kerana rombongan perniagaannya sudah selamat, tetapi pemimpin Musyrikin Makkah iaitu Abu Jahal menegaskan supaya mereka semua bertempur bagi membinasakan Islam.

Peristiwa Badar adalah perang saudara sekeluarga dan sebangsa yang sangat menekan perasaan orang-orang yang beriman. Sehingga ia menjadi ujian terhadap golongan beriman daripada Allah SWT yang mentakdirkan berlakunya peperangan.

Peperangan bagi menghapuskan fahaman fanatik kaum dan keluarga yang menghalang perjuangan untuk menegakkan konsep adil terhadap semua, walaupun bukan sekeluarga, sebangsa dan seagama. Hal ini selari dengan sabda Rasululah SAW:

‌لَيْسَ ‌مِنَّا ‌مَنْ ‌دَعَا ‌إِلَى ‌عَصَبِيَّةٍ، ‌وَلَيْسَ ‌مِنَّا ‌مَنْ ‌قَاتَلَ ‌عَلَى ‌عَصَبِيَّةٍ، ‌وَلَيْسَ ‌مِنَّا ‌مَنْ ‌مَاتَ ‌عَلَى ‌عَصَبِيَّةٍ.

“Bukan daripada kalangan kita orang yang mengajak kepada ‘asabiyyah, dan bukan daripada kalangan kita orang yang berperang kerana ‘asabiyyah dan bukan daripada kalangan kita orang yang mati kerana ‘asabiyyah.” (Riwayat Abu Dawud 5121)

‘Asabiyyah itu ialah sikap fanatik dalam membela kaum sendiri walaupun mereka telah berlaku zalim.

Oleh itu, peristiwa Badar adalah tarbiah untuk menegakkan keimanan bagi menentang kezaliman bangsa dan keluarga sendiri dan berlaku adil kepada seluruh manusia.

Rasulullah SAW membuat keputusan untuk berperang juga melalui mesyuarat, setelah mendapat persetujuan dan kesediaan para pemimpin Ansar yang berasal dari Madinah dan Muhajirin yang berasal dari Makkah. Hal ini demikian kerana, tanah air golongan Ansar itu terlebih dahulu akan mendapat kesan akibat peperangan, manakala bagi Muhajirin pula kerana musuh yang menyerang itu daripada keluarga mereka.

Syura yang diadakan membuat keputusan termasuklah memilih markas operasi dengan menerima pandangan daripada seorang sahabat iaitu al-Hubab bin al-Munzir RA yang menasihati supaya menguasai sumber mata air yang sangat penting bagi tentera Islam. Pada masa yang sama, strategi itu dapat menyekat kemaraan pihak musuh.

Pandangan tersebut diterima oleh Rasulullah SAW, walaupun ia mengubah pandangan asal Baginda SAW yang tidak berdasarkan kepada wahyu.

Sewaktu berlakunya peperangan, Rasulullah SAW berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهمّ ‌إنْ ‌تَهْلِكْ ‌هَذِهِ ‌الْعِصَابَةُ الْيَوْمَ لَا تُعْبَدْ.

“Ya Allah! Sekiranya binasa pasukan yang kecil ini, nescaya tidak akan ada lagi yang beribadat kepada-Mu.” (Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, jld. 1, ms. 627)

Abu Jahal, pemimpin Musyrikin Makkah juga berdoa:

اللَّهُمَّ ‌أَقْطَعَنَا ‌لِلرّحِمِ، وَآتَانَا بِمَا لَا يُعْرَفُ، فَأَحِنْهُ الغَدَاةَ.

“Ya Allah! Binasakanlah orang yang memutuskan silaturahim (tali kekeluargaan) dan membawa kepada kami dengan ajaran yang tidak kami kenali (sesat). Binasakanlah mereka pada pagi ini.” (Al-Tabari, Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, jld. 2, ms. 449)

Dua doa kepada Allah SWT yang dipanjatkan itu membezakan prinsip antara benar dengan tuduhan yang salah dan sesat.

Setelah berjaya mencapai kemenangan, tawanan perang yang ramai pula dibebaskan selepasnya dengan menunaikan syarat-syarat pembebasan yang mudah dan menarik. Ramai dalam kalangan tawanan itu memeluk Islam setelah dibebaskan kerana telah menyaksikan layanan yang baik dan adil.

Selepas itu, Islam berkembang dengan lebih pesat dan mendapat sambutan dalam kalangan kabilah Arab, sehingga Makkah berjaya dibebaskan dengan mudah dan penganut Islam bertambah berlipat kali ganda. Perkara luar biasa ini berlaku apabila Islam berjaya mengubah bangsa Arab yang ganas, menjadi model akhlak mulia bersama Islam.

Setelah itu, tumbangnya kuasa besar Parsi dan Rom dan Islam mula memasuki ke wilayah-wilayah yang pernah ditakluk oleh kedua-dua kuasa besar itu.  Seterusnya Islam dianuti oleh penduduk di sana hingga kini di seluruh Asia Tengah, Asia Tenggara, sebahagian besar Afrika dan sebahagian Eropah. Akhirnya, tegaknya Tamadun Islam yang berpengaruh kepada kemajuan terkini.

Perubahan inilah yang menakutkan mereka yang zalim hingga hari ini. Tegasnya,  Islam itu digeruni kerana keadilannya bukan kerana senjata yang dimilikinya.

Adapun kelemahan yang dialami oleh umat Islam pada zaman mutakhir adalah disebabkan oleh lemahnya kefahaman mereka terhadap ajaran Islam dan ajaran petunjuknya tidak diamalkan.

Banyak perkara yang berlaku daripada peristiwa Badar menjadi rujukan dalam penggubalan undang-undang antarabangsa dan pembentukan piagamnya. Khususnya perkara yang berkaitan dengan undang-undang peperangan dan layanan terhadap tawanannya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 14 Ramadan 1443 / 16 April 2022