Home Berita PAS Sabah

Perginya sebutir permata, Allahyarhamah Shaika Shuhada Mohd Aminuddin

139
SHARE

Oleh : Renna Yun
5 Julai 2022

KOTA BELUD: Skuad Prihatin Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Dewan Muslimat PAS Sabah, (LKK DMPNS) dengan kerjasama LKK DMPK Tuaran berkesempatan menziarahi keluarga Allahyarhamah Shaika Shuhada Mohd Aminuddin di rumah mereka di Kampung Botung, di sini pada Sabtu.

Skuad Prihatin Muslimat Sabah menyampaikan sumbangan prihatin berbentuk wang tunai hasil kutipan derma kilat daripada ahli kepada wakil keluarga, Afendi Mohd Aminuddin yang merupakan abang kandung kepada arwah.

Menurut Ketua LKK DMPNS, Norazian Sapiai, arwah merupakan salah seorang Perunding SKIMPAS Sabah dan juga anak kepada Pesuruhjaya PAS Sabah, Tuan Mohd Aminuddin Aling.

“Kami dimaklumkan oleh adik arwah, kedua ibu bapa mereka yang masih berada di tanah suci Mekah telah menerima berita dukacita tersebut dengan hati yang pilu namun tetap redha dan lapang dengan ketentuan Ilahi.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga atas pemergian arwah dan kami doakan semoga arwah diampunkan segala dosa dan di tempatkan di kalangan para solehin,” ujarnya menahan sebak.

Kata Norazian lagi, sebutir permata telah pergi menemui Illahi, semoga perjuangan arwah menjadi sumber inspirasi kepada sahabat yang lain untuk terus bergerak ke gerbang jasa sehingga nyata benarnya janji Rabbi.

Terdahulu, arwah telah menghembuskan nafas pada 1 Julai lalu akibat penyakit kanser paru-paru peringkat 4.