Seluruh dunia menyaksikan kisah sayu pemergian seorang sukarela paramedik muda Palestin bernama Razan Ashraf Najjar. Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) turut berkongsi rasa sedih dan pedih dengan berita kematian beliau.
Gadis berumur 21 tahun itu dipercayai mati syahid apabila ditembak tepat pada dadanya oleh sniper rejim Zionis Israel ketika beliau sedang memberikan bantuan perubatan kepada mangsa yang cedera di pagar perbatasan Khan Younes, di selatan Jalur Gaza.
Razan pernah berkata, “Boleh sahaja jika saya hanya bekerja di hospital. Tetapi saya lebih suka untuk berada di barisan hadapan bersama-sama para sahabat saya di lapangan. Setiap hari akan ada yang gugur syahid di Gaza dan mereka itu lebih mulia dari saya. Saya mengharapkan saya juga syahid seperti mereka.“
Pada hari Jumaat dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Allah telah memakbulkan doanya untuk gugur syahid ketika berkhidmat di tanah airnya. Ramai beranggapan beliau sudah mati namun hakikatnya darjat beliau diangkat di sisi Allah sebagai seorang syahidah. Sesungguhnya itulah kematian yang menghidupkan jiwa-jiwa yang masih buta.
Di kesempatan ini, kami menyeru anak muda untuk bangun dari lena dunia dengan mengambil iktibar dan mencontohi semangat jihad beliau yang tekad dalam mempertahankan tanah airnya tercinta. Usaha jihad dan perjuangan yang tiada noktah ini memerlukan semangat dan jiwa yang kental.
Setiap daripada kita mesti merasai dalam diri bahawa kita adalah pejuang sebagaimana kata-kata Saad bin Abi Waqas,
“Aku adalah anak panah daripada anak-anak panah Islam. Campakkanlah aku ke mana sahaja, aku tetap berjuang demi Islam.”
Tenanglah engkau di sana wahai srikandi syurga.
“Muslimat Memacu Kemenangan”
NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
19 Ramadhan 1439H
04 Jun 2018