Home Berita PAS Pahang

Perginya amilin yang istiqamah menabur bakti dalam jemaah

1097
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 14 Apr – Ustaz Muhammad Naazir Ramly telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 2.32 petang di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam.

Beliau telah disahkan menghidap sakit barah paru-paru pada September 2023 dan telah mendapat rawatan yang sewajarnya.

“Setelah mendapat rawatan awal di HTAA dengan ubat berharga RM20 ribu, Naazir kelihatan telah beransur sihat dan telah menjalani kehidupan seharian seperti biasa bermula bulan Disember 2023.

“Arwah telah bekerja dengan YB Ayub (ADN Sungai Lembing) mulai Januari tahun ini sehinggalah beliau mula sakit semula pada penghujung bulan Mac 2024,” kata ibu Almarhum Naazir, Zubaidah Cik ketika ditemui di kediamannya di Beserah hari ini.

Menurut ibunya yang juga Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan Beserah Tengah, setelah tamat pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan, Almarhum telah bekerja sebagai Mudir di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam Al-Itqan (SRITI) di Paya Besar sehinggalah kesihatannya tidak mengizinkan.

Sementara itu Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya menyifatkan kehilangannya sangat dirasai terutama sebagai seorang amilin yang sangat istiqamah dalam jemaah.

Almarhum telah berada di dalam barisan kepimpinan Pemuda PAS Pahang sebagai Pengarah Jabatan Informasi Teknologi Maklumat, Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS dan jawatan terakhir beliau adalah Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pemuda PAS Kawasan Paya Besar dan Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya PAS DUN Sungai Lembing.

“Walaupun dalam keadaan nafasnya yang sesak, kesihatannya sangat tidak baik tetapi sebelum ajalnya beliau masih lagi menghadiri program-program PAS seperti iftar, usrah DUN Sungai Lembing dan yang terakhir sekali masih hadir ke Ijtimak PAS Kawasan Paya Besar.

“Almarhum seorang yang sangat mudah didampingi, sentiasa menjaga bahasa tutur katanya dan bijak pandai dalam bergaul seusia dengannya dan orang lain yang dewasa atau tua darinya.

“Seorang individu atau bapa yang sangat rapat dengan anak-anak, bila hadir program kelihatan anak-anaknya selalu duduk dekat dengannya, bermain atau memanjat di belakangnya.

“Semoga Allah SWT merahmatinya dan al-Quran sebagai syafaat baginya dan amal kebajikannya dapat menolongnya di sana nanti,” tambah beliau lagi.